DOF semak semula kelulusan bot kenka, perkemas garis panduan teknikal

PUTRAJAYA - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengambil beberapa langkah segera termasuk menyemak semula semua kelulusan melibatkan bot kenka dan pertukaran zon susulan teguran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) baru-baru ini.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, pihaknya mengalu-alukan dapatan EAIC itu sebagai asas penambahbaikan dalam memperkukuh tadbir urus serta pelaksanaan dasar perikanan negara.
“Teguran EAIC akan dijadikan panduan penambahbaikan. Jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelulusan yang bercanggah dengan dasar.
"Kami komited untuk menyemak semula semua proses bagi memastikan ketelusan dan pematuhan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, beberapa langkah segera telah diambil antaranya memperkemas garis panduan teknikal serta memperkukuh semakan silang dan audit dalaman bagi menangani sebarang kelemahan secara sistematik dan berkesan.
“Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan mengurus sumber perikanan negara, jabatan ini bertanggungjawab memastikan sumber diurus secara lestari, berintegriti dan memberi manfaat kepada negara serta komuniti nelayan,” katanya.
Beliau berkata, DOF akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan tindakan pembetulan dapat dilaksanakan secara menyeluruh berlandaskan dasar, integriti tadbir urus dan kepentingan negara.
Sebelum ini, EAIC mendedahkan berlaku ketidakpatuhan dalam proses kelulusan permohonan pertukaran hak milik bot kenka serta permohonan pertukaran zon oleh DOF.
EAIC memaklumkan perkara itu diperoleh menerusi siasatan aduan terhadap DOF berkaitan tindakan meluluskan permohonan berkenaan yang tidak mematuhi syarat dan pekeliling pelesenan serta bercanggah dengan dasar perikanan sedia ada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

