Aksi bola sepak semarak ukhuwah IPD Kajang, CiJA

BANGI – Semangat kesukanan dan ukhuwah menjadi tunjang utama perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) yang berlangsung di Arena Sukan Azman Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini pada Jumaat.
Perlawanan yang bermula pada jam 8 malam itu bukan sekadar medan untuk menunjukkan kehebatan di padang, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara penguat kuasa dan pengamal media dalam suasana santai dan mesra.
Aksi ketika hujan itu menyaksikan IPD Kajang memenangi perlawanan dengan jaringan lima gol berbalas tiga.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan IPD Kajang dan CiJA telah berlangsung dengan semangat kesukanan dan ukhuwah.
Menurutnya, perlawanan tersebut dianjurkan bertujuan mengeratkan hubungan antara pihak polis dan rakan media, selain memperkukuh kerjasama strategik dalam penyampaian berita jenayah secara beretika dan profesional.
"Ini sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim, selain komunikasi dua hala yang lebih mesra antara kami (polis) dengan wartawan.
"Secara tidak langsung, aktiviti riadah sebegini menyokong gaya hidup sihat dalam kalangan warga IPD Kajang khususnya," katanya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir Drahman bersama ketua-ketua bahagian.

Sementara itu, Presiden CiJA, Safeek Affendy Razali berkata, aktiviti ini mengumpulkan 20 petugas media daripada pelbagai agensi, antaranya Sinar Harian, Berita Harian, Kosmo!, Astro Awani, Bernama, Harian Metro, Utusan Malaysia dan The Star.
"Kami amat menggalakkan aktiviti sihat dalam kalangan petugas media, selain menyahut seruan kerajaan sempena sambutan Hari Sukan Negara baru-baru ini.
"Ini antara perlawanan persahabatan CiJA dengan pasukan polis yang bertujuan merapatkan ukhuwah kami dengan pihak polis," katanya.
Ringkasan AI
- Semangat kesukanan dan ukhuwah menjadi tunjang utama perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan IPD Kajang dan Persatuan Wartawan Jenayah
- Perlawanan ini adalah platform mengeratkan hubungan antara penguat kuasa dan pengamal media
- IPD Kajang memenangi perlawanan dengan jaringan lima gol berbalas tiga
- Perlawanan bertujuan mengeratkan hubungan dan memperkukuh kerjasama strategik antara pihak polis dan rakan media
- Aktiviti ini mengumpulkan 20 petugas media daripada pelbagai agensi dan menggalakkan aktiviti sihat dalam kalangan petugas media
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
