Synology rai 25 tahun dengan pertumbuhan kukuh, perkenal produk baharu

KUALA LUMPUR – Synology meraikan ulang tahun ke-25 inovasinya dengan mengumumkan fasa baharu dalam usaha melindungi data di seluruh dunia, termasuk memperkenalkan rangkaian penyelesaian terkini bagi membantu organisasi memperkukuh daya ketahanan siber dan mengemudi era pertumbuhan data yang pesat.
Langkah itu memanfaatkan momentum pertumbuhan syarikat yang berterusan sepanjang tempoh dua dekad setengah, dengan tumpuan kepada penyelesaian sandaran pintar, storan bertaraf perusahaan dan kolaborasi patuh peraturan.
Ketua Asia Tenggara Synology, Thachawan Chinchanakarn berkata, transformasi digital terus menjadi pemacu utama pertumbuhan data.
“Momentum kukuh ini mendorong permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian berteknologi maju,"katanya di sini, hari ini.
Menurut Ramalan Global IDC Worldwide, menjelang tahun 2025 dunia dijangka menjana sebanyak 175 zettabait data dan jumlah itu dijangka meningkat lebih sepuluh kali ganda dalam tempoh sedekad seterusnya, melebihi 2,100 zettabait.

Sementara itu, Tinjauan Trend Transformasi Digital Synology 2025 mendapati hampir 90 peratus perniagaan di Asia Tenggara telah melabur dalam transformasi digital sebagai komitmen strategik.
Namun, 85 peratus organisasi masih berada pada peringkat awal pelaksanaan, dan walaupun lebih 55 peratus pernah mengalami serangan siber, hanya satu daripada lima yakin terhadap keupayaan pemulihan mereka.
Dengan pengalaman selama 25 tahun serta ekosistem pengurusan data bersepadu yang kini menggerakkan lebih 14 juta pemasangan, melindungi 25 juta titik hujung, dan menyambungkan dua juta kamera, Synology kekal sebagai rakan dipercayai yang membantu organisasi mempercepatkan transformasi digital secara selamat dan mampan.
Pengurus Negara Synology Malaysia, Jason Sin, berkata, dalam tempoh lima tahun lalu, Synology terus meraih kepercayaan perusahaan dan organisasi di Malaysia dengan hampir dua kali ganda peningkatan hasil.

"Dengan portfolio yang kini diperluas, pelanggan perniagaan di Malaysia mempunyai lebih banyak penyelesaian yang disesuaikan mengikut keperluan mereka.”katanya.
Di rantau ini, banyak syarikat dan perusahaan terkemuka mengiktiraf Synology bukan sahaja sebagai penyedia teknologi, tetapi juga rakan strategik yang dipercayai dalam memperkukuh daya ketahanan siber serta meningkatkan kecekapan operasi.
Didorong oleh gelombang transformasi digital, perniagaan Synology di Malaysia telah berkembang ketara dengan kadar penggunaan oleh perusahaan meningkat 130 peratus dalam tempoh lima tahun.
Awal tahun ini, Synology melancarkan ActiveProtect, peranti sandaran khusus direka untuk perusahaan bagi melindungi pelbagai beban kerja di pelbagai lokasi. Ia menawarkan kapasiti antara 8TB hingga 140TB, menyediakan sandaran tidak boleh diubah (immutable backups), jurang udara (air-gap), serta sokongan pematuhan peraturan bagi pertahanan kukuh terhadap ancaman siber.
Selain itu, Synology turut memperkenalkan PAS7700, storan perusahaan all-NVMe pertama yang menawarkan prestasi ultra dengan seni bina hujung-ke-hujung, mencapai sehingga 2 juta IOPS dan daya pemprosesan 30 GB/s dengan kependaman kurang daripada 1 milisaat.

Sistem ini turut menampilkan seni bina aktif-aktif (active-active architecture) bagi memastikan ketersediaan berterusan, selain penyulitan kukuh dan prestasi gred perusahaan sesuai untuk beban kerja kritikal misi.
Melangkah ke hadapan, Synology bakal memperkenalkan keupayaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam Synology Office Suite, termasuk Pengecaman Karakter Optik (OCR), carian semantik, ringkasan automatik, dan terjemahan masa nyata.
Semua ciri ini dijalankan melalui pelayan di premis (on-premises servers) bagi memastikan data sensitif kekal sulit serta menjamin keselamatan kolaborasi organisasi.
Thachawan berkata, ketahanan siber kini menjadi keutamaan utama bagi pemimpin IT di seluruh dunia kerana ia penting untuk memastikan kesinambungan perniagaan dan daya saing perusahaan.
“Portfolio kami mencerminkan komitmen Synology dalam menyediakan penyelesaian yang mudah, boleh diskala dan selamat bagi memperkasa perniagaan melindungi aset paling kritikal mereka serta terus maju dalam era digital,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
