Polis terima laporan rakaman suara mirip pemimpin politik dipercayai fitnah, hina Raja Perlis

ARAU - Polis menerima satu laporan berkaitan rakaman suara didakwa mirip seorang pemimpin politik negeri ini yang dipercayai mengandungi kenyataan berunsur fitnah, penipuan serta penghinaan terhadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata laporan itu dibuat oleh Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Arau Hazalan Haron pada kira-kira 5.30 petang pada Jumaat selepas beliau menonton video menerusi sebuah akaun TikTok pada 11.30 pagi yang memaparkan rakaman suara berkenaan.
"Kenyataan yang dikeluarkan dalam rakaman tersebut dipercayai mengandungi unsur fitnah, penipuan serta penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis.
"Kandungan rakaman itu telah disebarkan secara terbuka menerusi beberapa platform media sosial dan mengandungi maklumat yang tidak benar serta boleh menjejaskan maruah, reputasi dan Institusi Diraja Negeri Perlis,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata siasatan masih dijalankan termasuk menentukan seksyen bersesuaian di bawah peruntukan undang-undang yang terlibat.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda UMNO Perlis merangkap Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau Ahmad Nazrin Abdul Aziz menegaskan laporan polis berkenaan bukan bermotifkan politik, sebaliknya dibuat atas dasar tanggungjawab moral dan semangat mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan.
Beliau berkata keutuhan dan martabat institusi diraja perlu sentiasa dipelihara demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negeri.
"Saya percaya pihak polis akan menjalankan siasatan secara adil dan profesional serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
"Saya juga menyeru semua pihak, khususnya pemimpin negeri dan penjawat awam lebih berhemah dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hubungan dengan institusi diraja,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Polis menerima laporan tentang rakaman suara didakwa mirip pemimpin politik negeri dengan unsur fitnah terhadap Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis
- Laporan dibuat oleh Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Arau selepas menonton video di TikTok
- Rakaman tersebut dipercayai mengandungi fitnah dan penghinaan yang boleh menjejaskan maruah Institusi Diraja Negeri Perlis
- Siasatan masih dijalankan untuk menentukan seksyen undang-undang yang terlibat
- Setiausaha Pemuda UMNO Perlis menegaskan, laporan polis dibuat bukan bermotifkan politik tetapi bertanggungjawab pada moral dan mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
