Selangor lulus peruntukan RM320,000 baik pulih SRA Kampung Medan

Dr Mohammad Fahmi (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan kerja di SRA Kampung Medan di Telok Panglima Garang pada Jumaat.
Dr Mohammad Fahmi (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan kerja di SRA Kampung Medan di Telok Panglima Garang pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LANGAT – Selangor meluluskan peruntukan awal sebanyak RM320,000 daripada Tabung Bencana Negeri bagi kerja-kerja pembaikan segera Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan di Telok Panglima Garang yang rosak teruk akibat ribut pada Rabu lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada pagi Jumaat.

“Petang ini saya turun mewakili kerajaan negeri untuk melihat sendiri keadaan sekolah yang dilanda ribut dua hari lepas.

“Pagi tadi, kerajaan negeri telah bersetuju meluluskan peruntukan awal sebanyak RM320,000 daripada Tabung Bencana Negeri Selangor untuk kerja-kerja awalan membaik pulih sekolah ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di sekolah berkenaan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, seramai 13 murid yang terkesan akibat kejadian itu turut menerima sumbangan tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang yang disalurkan menerusi tabung bencana negeri.

Selain itu, beberapa agensi dan pihak swasta turut tampil memberikan bantuan antaranya TIJARI melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menyalurkan RM18,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), murid terkesan serta pembangunan sekolah manakala Halal International Selangor (HIS) turut menyumbang RM1,300 kepada 13 murid yang cedera.

Dr Mohammad Fahmi berkata, kejadian itu merupakan satu episod traumatik bukan sahaja kepada murid, malah guru serta seluruh warga sekolah.

“Saya telah mengarahkan Pengarah JAIS untuk menyegerakan kerja-kerja pembaikan. Berdasarkan taksiran awal, kerosakan dianggarkan bernilai sekitar RM320,000 namun selepas saya lihat sendiri keadaan di sini jumlah itu mungkin meningkat.

“Kita akan menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan akan memohon dana tambahan jika perlu bagi memastikan kerja baik pulih dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kawasan paling teruk terjejas ialah surau sekolah yang hampir musnah sepenuhnya serta beberapa kelas di bahagian hadapan yang turut mengalami kerosakan pada bumbung, siling, pendawaian elektrik dan perabot.

“Surau sekolah ini saya lihat hampir ‘right off’, jadi perlu dibina semula. Bahagian kelas depan juga perlu dibaiki segera. Kita bimbang aspek keselamatan termasuk risiko renjatan elektrik dan kebocoran,” katanya.

Mengulas mengenai sesi pembelajaran, Dr Mohammad Fahmi menjelaskan ketika ini sekolah berkenaan sedang bercuti dan murid diberi cuti tambahan selama dua minggu bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pembaikan.

“Nasib baik sekolah sekarang sedang bercuti. Kita benarkan cuti dua minggu sementara baik pulih selesai.

“Namun minggu depan ada kira-kira 200 murid yang perlu menduduki peperiksaan. Jadi kita akan pastikan ada ruang atau kelas yang sesuai untuk mereka. Murid lain boleh meneruskan pembelajaran secara PDPR selepas cuti nanti,” katanya.

Beliau menambah, berdasarkan maklumat semasa, sekolah tersebut mempunyai kira-kira 1,500 murid dan 36 guru, dengan sesi persekolahan dijalankan satu sesi sahaja.

Jelasnya, jika semua berjalan lancar, blok yang terjejas dijangka boleh digunakan semula selewat-lewatnya pada minggu hadapan, khususnya bagi murid yang akan menduduki peperiksaan.

“Saya jangka seawal Rabu atau Khamis depan sebahagian murid, khususnya yang menduduki peperiksaan, boleh kembali ke sekolah. Selepas itu kita akan teruskan pembaikan sepenuhnya bagi memastikan keseluruhan blok dapat beroperasi seperti biasa,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Selangor meluluskan peruntukan RM320,000 untuk kerja-kerja pembaikan SRA Kampung Medan yang rosak teruk akibat ribut
  • Dr Mohammad Fahmi turun melihat keadaan sekolah dan mengumumkan peruntukan awal dari Tabung Bencana Negeri
  • Seramai 13 murid terkesan menerima sumbangan tunai RM1,000 setiap seorang
  • Kawasan paling teruk terjejas adalah surau sekolah dan beberapa kelas di bahagian hadapan
  • Murid diberi cuti tambahan dua minggu sementara kerja-kerja pembaikan dijalankan, dengan persediaan khas untuk murid yang perlu menduduki peperiksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!