Kotak rokok mesti diubah suai

AMER SIDDIQ
A
A

MENGUBAH suai bentuk kotak rokok seperti tidak mempunyai warna menarik antara cadangan boleh diambil sebagai usaha mengekang ketagihan merokok dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketua Koordinator Pusat Kajian Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS), Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin berkata, bentuk kotak rokok yang tidak menarik perhatian, dipercayai boleh merencatkan keinginan golongan muda untuk mencuba menghisap rokok.

"Kajian menunjukkan jika kotak rokok semua sama dan tiada kelebihan maka kanak-kanak tidak akan teruja untuk mencubanya berdasarkan sifat ingin tahu dalam diri mereka," katanya.

Langkah itu antara cadangan lain bagi mengatasi masalah merokok dalam kalangan pelajar sekolah selain memperluaskan kawasan bebas rokok, memulakan perbincangan "plain packaging" dan "point of sale (POS) ban" perlu dilaksanakan secepat mungkin.

"Bagi negara di mana polisi 'POS ban' ini dilaksanakan, kewujudan tempat rokok di belakang kaunter wang di kedai makan atau kedai serbaneka 24 jam, ketiadaan ruang promosi seperti ini membantu mengurangkan keinginan kanak-kanak untuk merokok," katanya.

Menurutnya, pada masa sama tingkah laku peniaga degil menjual rokok kepada pelajar mesti dibendung kerana hasil kajian penyelidik di Institut Kajian Perubatan (IMR) pada 2017 mendapati masih wujud peniaga tidak beretika menjual rokok kepada pelajar.

"Ini satu jenis penganiayaan kepada golongan muda kerana merokok adalah satu bentuk ketagihan. Kajian menunjukkan bahawa satu batang rokok sahaja sudah memadai untuk menyebabkan penagihan oleh kerana tindak balas rokok ke atas otak yang sedang berkembang," katanya.

Amer berkata, status 'prevalen' kanak-kanak dan belia pada tahun 2015 berdasarkan kajian populasi di negara ini yang terlibat dengan tabiat merokok adalah 11.5 peratus.

Menurutnya, satu kajian oleh penyelidik di IMR melibatkan 40 sekolah di seluruh semenanjung Malaysia mendapati 3.5 peratus daripada sampel kanak-kanak yang dikaji merokok kurang dari usia tujuh tahun.

"Kebanyakan adalah pada usia 14 hingga 15 tahun dan ini konsisten dengan kajian populasi negara ini di mana purata umur mula merokok adalah sekitar 13.5 tahun.

"Faktor utama adalah pengaruh kawan, kedua ibu bapa perokok dan ketiga sifat ingin tahu mereka," katanya.

.