X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 59 ADUN Perak dapat peruntukan khas RM20,000

Ahmad Faizal Azumu
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengumumkan peruntukan khas dalam bentuk wang tunai RM20,000 kepada kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Peruntukan membabitkan jumlah keseluruhan RM1.18 juta akan diberikan esok kepada 59 wakil rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, peruntukan tersebut diberikan kepada semua ADUN tanpa mengira latar belakang parti bertujuan memastikan mereka dapat menjaga kebajikan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

"Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah wang sama rata kepada semua 59 ADUN tak kira daripada Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional untuk digunakan kepada rakyat yang memerlukan di waktu terdesak ketika ini.

"Semua wakil rakyat perlu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat ketika saat-saat memerlukan seperti ini," katanya ketika wawancara khas di PerakFM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut kesal dengan penyebaran palsu berkaitan situasi terkini koronavirus (Covid-19) di Perak.

Beliau berkata, tindakan menyebar berita tidak sahih merupakan isu serius kerana boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

"Saya sedih apabila dimaklumkan ada berita tak sahih tersebar di media sosial kononnya Hospital Teluk Intan (HTI) telah lumpuh sebab kakitangan terkena jangkitan Covid-19.

"Saya nak jelaskan, Jabatan Kesihatan Negeri sahkan memang ada beberapa kakitangan perubatan di Hospital Teluk Intan telah disahkan positif Covid-19.

"Bagaimanapun, langkah keselamatan dan pencegahan telah diambil dengan segera serta pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan HTI telah mengambil tindakan pengawalan rapi dengan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga telah membuka Bilik Gerakan Covid-19, begitu juga di peringkat Pejabat Daerah dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri ini.

Orang ramai menyemak terlebih dahulu sebarang maklumat dengan pihak berkaitan seperti Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan menerusi talian hotline 03-8881 0200/0600/0700 atau e-mel [email protected] atau melalui Majlis Keselamatan Negara di talian hotline 03-88882010.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus