InsiderSecurity jadi rakan strategik CyberSecurity Malaysia

SHAH ALAM - Syarikat perisian keselamatan siber, InsiderSecurity, secara rasmi menjadi rakan strategik di bawah Program Rakan Kolaborasi CyberSecurity Malaysia (CSM-CP) bagi memperkukuh daya tahan siber dan memacu inovasi keselamatan digital negara.
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, kerjasama itu membentuk perkongsian strategik dengan tumpuan kepada pembangunan keupayaan siber serta sokongan terhadap inisiatif keselamatan bagi menangani ancaman paling kritikal di Malaysia.
“Usaha ini sejajar dengan agenda negara untuk membina ekonomi digital berdaya tahan dan berdaulat. Ia turut menyokong pelaksanaan Cyber Security Strategy 2025–2030 yang memberi penekanan kepada peralihan daripada perlindungan kepada pencegahan awal.
“Selain itu, ia turut membina masa depan digital yang selamat melalui adaptasi teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), penambahbaikan Cyber Security Act 2024 dan pembangunan bakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, InsiderSecurity digunakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan pengendali infrastruktur kritikal bagi menangani cabaran serta ancaman siber termasuk Database Activity Monitor yang mengesan serangan terhadap pangkalan data secara masa nyata.
Syarikat itu turut membangunkan Microsoft 365 Data Security yang melindungi organisasi daripada risiko keselamatan awan dan kebocoran data tidak sengaja melalui pemantauan berterusan.
InsiderSecurity sebelum ini diiktiraf antara High-Growth Companies Asia-Pacific 2025 oleh Financial Times dan disenaraikan dalam Singapore’s Fastest-Growing Companies 2025 oleh The Straits Times.
Ia juga merupakan antara firma keselamatan siber ASEAN pertama memperoleh pensijilan CSA STAR Tahap 2, penanda aras global dalam keselamatan awan.
Amirudin berkata, inisiatif itu akan mengukuhkan kerjasama kedua-dua pihak selain memacu peralihan negara ke arah pendekatan keselamatan siber yang bersifat pencegahan.
“Matlamat bersama ini adalah untuk melindungi ekonomi digital Malaysia serta membina masa depan yang lebih selamat dan berdaya tahan bagi rakyat serta perusahaan tempatan.
“Justeru, kami berbesar hati mengalu-alukan InsiderSecurity sebagai rakan strategik CSM-CP dalam usaha memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Jualan dan Perkongsian Perusahaan InsiderSecurity, Leikanthan Ramalingam berkata, kolaborasi itu memanfaatkan teknologi keselamatan data canggih dan keupayaan pengesanan ancaman milik syarikat berkenaan bagi memperkukuh pertahanan negara terhadap ancaman siber yang semakin berkembang.
“Pendekatan tersebut juga melengkapi inisiatif nasional dalam pembangunan kemahiran serta perkongsian ilmu antara sektor awam dan swasta,” katanya.
Tambahnya, InsiderSecurity membangunkan penyelesaian keselamatan siber maju di rantau ASEAN yang direka khusus untuk memenuhi keperluan unik rantau ini serta disokong oleh pasukan sokongan tempatan yang berkemahiran tinggi.
“Perkara itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat untuk memanfaatkan kepakaran mereka dalam membekalkan Malaysia dengan peralatan, bakat dan teknologi bagi menghadapi ancaman siber masa depan.
“Selaras dengan pengumuman semasa CyberDSA 2025, InsiderSecurity menubuhkan pejabat kejuruteraan di Malaysia bagi memperkukuh keupayaan tempatan dalam kejuruteraan produk dan sokongan teknikal sekali gus menyokong pembangunan bakat keselamatan siber negara,” ujarnya.
Leikanthan menambah, InsiderSecurity komited untuk memperkukuh kehadiran dan impaknya di Malaysia dalam menyokong matlamat nasional berkaitan keselamatan siber serta memberikan perkhidmatan lebih baik kepada perusahaan tempatan.
“Kewujudan pejabat kejuruteraan tempatan membolehkan syarikat memahami dengan lebih mendalam cabaran keselamatan siber unik yang dihadapi oleh organisasi di Malaysia.
“Langkah ini juga membolehkan InsiderSecurity membangunkan penyelesaian tersuai dan menyediakan sokongan di lapangan bagi memastikan pelaksanaan yang berjaya,” katanya.
Ringkasan AI
- InsiderSecurity menjadi rakan strategik dalam Program Rakan Kolaborasi CyberSecurity Malaysia untuk memperkukuh daya tahan siber dan memacu inovasi keselamatan digital negara
- Kerjasama ini bertujuan untuk membentuk perkongsian strategik dengan tumpuan pada pembangunan keupayaan siber serta sokongan dalam menangani ancaman siber di Malaysia
- Usaha ini menyokong agenda negara membina ekonomi digital yang berdaya tahan melalui adaptasi teknologi baharu dan pembangunan bakat tempatan
- InsiderSecurity membangunkan penyelesaian keselamatan siber maju dan memperoleh pengiktirafan antarabangsa termasuk pensijilan CSA STAR Tahap 2
- Kolaborasi ini akan mengukuhkan pertahanan negara terhadap ancaman siber dan membina masa depan yang lebih selamat dan berdaya tahan bagi rakyat serta perusahaan tempatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

