KPM junjung titah Raja Permaisuri Agong wujudkan persekitaran selamat di institusi pendidikan

Raja Zarith Sofiah ketika menerima menghadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek Fadhlina di Istana Negara. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Raja Zarith Sofiah ketika menerima menghadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek Fadhlina di Istana Negara. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung titah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berhubung keperluan mewujudkan persekitaran yang selamat di semua institusi pendidikan.

Dalam kenyataan pada Rabu, KPM memaklumkan bahawa titah Seri Paduka Baginda menjadi peringatan penting kepada seluruh warga kementerian untuk menangani isu salah laku seksual yang memberi implikasi besar kepada masyarakat dan negara.

"KPM komited melaksanakan kempen kesedaran menyeluruh di semua institusi pendidikan, menilai keberkesanan modul Tindak Demi Anak Kita (TinDak), serta bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menjalankan kajian mengenai pengaruh media sosial terhadap murid seperti yang dititahkan Seri Paduka Baginda.

"Keprihatinan Raja Permaisuri Agong yang menzahirkan pandangan berhubung isu sosial dan langkah menanganinya menjadi panduan kepada KPM untuk terus memperkukuh aspek keselamatan di institusi pendidikan,” menurut kenyataan itu.

Pada Selasa, Seri Paduka Baginda bertitah agar KPM menilai keberkesanan modul kempen TinDak dalam usaha memperkukuh persekitaran sekolah yang lebih selamat dengan penglibatan aktif ibu bapa.

Titah tersebut dizahirkan susulan kejadian rogol di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini yang dipandang serius oleh Seri Paduka Baginda.

Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda turut bertitah agar sekolah sentiasa peka terhadap perkembangan semasa termasuk penggunaan Internet dan media sosial dalam kalangan murid serta menilai semula pendekatan sedia ada supaya seiring dengan perubahan zaman. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan komited melaksanakan kempen kesedaran di institusi pendidikan menyusuli titah Raja Permaisuri Agong
  • Titah itu diucapkan sebagai respons terhadap isu salah laku seksual yang mempengaruhi masyarakat dan negara
  • KPM bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia untuk kajian tentang pengaruh media sosial terhadap murid
  • Raja Permaisuri Agong menekankan pentingnya keselamatan di institusi pendidikan dan langkah menanganinya
  • Titah tersebut disampaikan sebagai respons terhadap insiden rogol di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!