Covid-19: MAIPs agih sumbangan kepada 13,091 asnaf

MAIPs. - Foto Sumber Internet
MAIPs. - Foto Sumber Internet
A
A
A

KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM2,618,200 kepada 13,091 keluarga asnaf susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

MAIPs dalam suatu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai setelah diperkenankan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Menurutnya, setiap asnaf yang terdiri dari kalangan penerima Bantuan Sara Hidup Bulanan dan Bantuan Sara Hidup Berkala (dalam senarai terkini) akan menerima Bantuan Khas Rangsangan Asnaf sebanyak RM200 yang akan disalurkan melalui akaun bank masing-masing.

"Tindakan ini adalah bagi mengelakkan sebarang ‘pertemuan fizikal’ yang boleh menyumbang kepada penyebaran wabak Covid-19," katanya.

MAIPs berkata, hanya mereka yang disenaraikan dalam data penerima asnaf terkini sahaja akan menerima bantuan berkenaan secara berperingkat yang dijadualkan seperti penerima Bantuan Sara Hidup Bulanan, 24 atau 25 Mac manakala penerima Bantuan Sara Hidup Berkala pada 26 atau 27 Mac ini.

Katanya, sebahagian kecil daripada penerima yang tidak berurusan dengan MAIPs melalui akaun bank (sebelum ini menerima bantuan MAIPs melalui tunai atau cek) akan menerima bantuan pada tarikh yang bakal diumumkan kemudian setelah dibenarkan untuk berbuat demikian.

"MAIPs juga ingin menekankan bahawa para asnaf tidak perlu memohon untuk menerima bantuan ini, sebaliknya penerima dipilih berdasarkan data terkini asnaf MAIPs.

"Semakan terhadap nama, status bayaran dan tarikh menerima/penyaluran bantuan boleh dibuat melalui laman: http://asnaf.maips.gov.my/bantuancovid/" katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, MAIPs turut menasihatkan penerima supaya mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri dengan tidak berkumpul di lokasi bank atau mesin ATM melainkan terdapat keperluan mendesak.

"Semoga sedikit sumbangan ini akan dapat meringankan beban warga asnaf dan berharap agar Agihan Ziarah Dakwah Bil Hal MAIPs di kariah masjid di Perlis dapat berjalan dengan lancar serta dikongsi manfaat bersama golongan yang memerlukan.

"Pengurusan MAIPs turut mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang zakat melalui MAIPs dan menyeru kepada semua pihak untuk terus berdoa agar ujian ini dapat segera hilang dan keadaan pulih seperti sedia kala," katanya.