Buat masalah lagi, empat warga Israel ditahan adakan parti dadah di Koh Phangan

SURAT THANI– Empat lelaki warga Israel yang mendakwa diri mereka sebagai askar ditahan polis selepas didapati berparti sambil mengambil dadah di sebuah vila mewah di pulau peranginan Koh Phangan, awal pagi Selasa.
Menurut laporan Bangkok Post, penahanan itu dilakukan selepas polis menerima aduan bunyi bising daripada penduduk tempatan sekitar jam 2.40 pagi waktu tempatan di kawasan Ban Sri Thanu.
Apabila polis tiba di lokasi, mereka menemui empat lelaki Israel berusia antara 26 hingga 27 tahun sedang duduk di ruang tamu vila dan cuba menyembunyikan sesuatu.
Pemeriksaan mendapati terdapat 0.59 gram kokain dan 1.37 gram serbuk ekstasi di tempat duduk mereka.
Keempat-empat suspek memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka merupakan anggota tentera Israel yang sedang bercuti di Thailand dan sedang meraikan berakhirnya perang Israel-Hamas bersama kira-kira 10 hingga 15 rakan senegara lain.
Namun, kebanyakan mereka telah meninggalkan parti itu selepas menerima teguran berhubung gangguan bunyi.
Mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Koh Phangan, dan hasil ujian air kencing menunjukkan positif terhadap kokain dan metamfetamin.
Pegawai polis pelancong, Leftenan Kolonel Winit Boonchit berkata, para suspek mendakwa mereka membeli dadah tersebut daripada warga Israel lain yang turut hadir di parti berkenaan, namun tidak mengenali identiti mereka.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat rangkaian pengedaran dadah melibatkan pelancong asing di Koh Phangan, sebuah destinasi terkenal dengan parti bulan penuh.-Agensi
Ringkasan AI
- Empat lelaki warga Israel yang mendakwa diri sebagai askar ditahan kerana berparti sambil mengambil dadah di Koh Phangan
- Penahanan dilakukan selepas polis menerima aduan bunyi bising dari penduduk tempatan
- Polis menemui kokain dan serbuk ekstasi dengan empat lelaki tersebut
- Suspek mengaku sedang bercuti di Thailand dan meraikan berakhirnya perang Israel-Hamas
- Mereka positif terhadap kokain dan metamfetamin selepas diuji di Hospital Koh Phangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

