Tiga anggota polis ditahan ugut remaja lakukan hubungan terlarang

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiga anggota polis ditahan pada Khamis bagi membantu siasatan dakwaan melakukan ugutan terhadap seorang remaja perempuan untuk melakukan hubungan terlarang di sini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
"Tiga pegawai itu direman empat hari untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya pada Jumaat.
Sebelum itu, tular di media sosial laporan polis dibuat pelajar berusia 18 tahun terbabit yang mendakwa diugut seorang anggota polis untuk melakukan hubungan seksual sekiranya mahu dibebaskan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, Rabu, pelajar bersama teman lelakinya itu dikatakan ditahan di hadapan sebuah restoran di Sentul dan telefon bimbit mereka dirampas untuk pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan, mereka dikatakan melakukan kesalahan dan akan ditahan untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun salah seorang anggota polis terbabit dikatakan mengajak gadis terbabit melakukan hubungan bersamanya sekiranya mahu dia dan teman lelakinya dibebaskan, namun ajakan itu ditolak.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul oleh pelajar terbabit pada hari sama.
Ringkasan AI
- Tiga anggota polis ditahan bagi membantu siasatan ugutan terhadap remaja perempuan
- Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur
- Kes disiasat di bawah Seksyen 384 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan
- Remaja perempuan itu mendakwa diugut untuk melakukan hubungan terlarang untuk dibebaskan
- Pelajar dan teman lelakinya ditahan di hadapan restoran di Sentul, telefon bimbit mereka dirampas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
