'Dedah angka salah laku pelajar, bukan untuk malukan tapi cegah'— ADUN Duyong

Mohd Noor Helmy
Mohd Noor Helmy
A
A
A

MELAKA – Angka salah laku pelajar seharusnya didedahkan bukan bertujuan untuk memalukan, namun sebaliknya sebagai langkah awal untuk mencegah dan membetulkan keadaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, cadangan itu penting untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat tentang tahap sebenar gejala disiplin dan salah laku yang berlaku di sekolah rendah mahupun menengah.

Menurut beliau, sudah tiba masanya pihak sekolah dan kementerian tidak lagi merahsiakan angka sebenar kes disiplin pelajar termasuk insiden buli, salah laku sosial dan penggunaan vape yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, ibu bapa perlu disedarkan tentang realiti yang berlaku agar mereka dapat memantau pergerakan dan tingkah laku anak-anak dengan lebih serius.

“Tak payah lagi kita nak rahsiakan angka-angka kenakalan luar biasa pelajar-pelajar kita.

“Nyatakan sajalah, umumkan, sekolah ini ada kes apa, berapa ramai, supaya ibu bapa tahu dan boleh ambil tindakan,” katanya dalam satu rakaman video yang dikongsi di media sosial di sini pada Ahad.

Jelas beliau, tindakan menyembunyikan data hanya menyebabkan masyarakat terus berada dalam zon selesa, sedangkan realitinya masalah sosial dalam kalangan pelajar semakin serius.

“Selama ini, angka-angka itu tidak dihebahkan kepada ibu bapa sekalipun yang tahu cuma ibu bapa pelajar yang terlibat.

“Hakikatnya, ada juga ibu bapa tak tahu anak mereka terlibat sebab belum ditangkap,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, sekiranya bimbang dan terlalu takut ia akan memalukan, maka cukup sekadar sebarkan angka-angka sebenar yang kini menjadi beban kepada guru pada hari ini.

“Ini supaya semua orang tahu, kita sedang berdepan krisis sosial yang makin parah,” ujarnya lagi.

Ringkasan AI

  • Salah laku pelajar perlu didedahkan untuk mencegah dan membetulkan keadaan
  • Penting bagi ibu bapa dan masyarakat menyedari tahap gejala disiplin dan salah laku di sekolah
  • Sekolah dan kementerian diharap tidak merahsiakan angka sebenar kes disiplin termasuk buli dan penggunaan vape
  • Ibu bapa perlu disedarkan tentang realiti anak-anak untuk pantau pergerakan dan tingkah laku mereka
  • Menyembunyikan data menyebabkan masyarakat berada dalam zon selesa sedangkan masalah sosial pelajar serius

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!