Sebelum fikir soal cukai baharu, betulkan dulu tatakelola, kata PM

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan terburu-buru mengenakan cukai baharu sebelum memastikan pentadbiran negara benar-benar bebas daripada ketirisan, rasuah dan kelemahan pengurusan.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini ialah membetulkan kelemahan dalam sistem sedia ada agar hasil negara tidak terus bocor kepada pihak yang tidak amanah.
“Sebelum kita fikir soal cukai yang kadang-kadang membebankan rakyat, kita harus betulkan dulu kesilapan dalam pentadbiran kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini pada Isnin.
Menurutnya, hasil penjimatan besar yang diperoleh daripada usaha mengekang penyeludupan dan rasuah membuktikan bahawa kecekapan pentadbiran mampu meningkatkan sumber negara tanpa perlu membebankan rakyat dengan cukai tambahan.
Anwar menjelaskan, wang yang berjaya diselamatkan itu digunakan semula untuk manfaat rakyat, termasuk bayaran gaji penjawat awam serta pelaksanaan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan inisiatif SARA.
“Kalau nak berikan yang lebih kepada rakyat, ia harus hasil yang lebih. Tapi sebelum fikir soal cukai, fikir dulu kerja kita, pelaksanaan dan sistem yang diwarisi,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan penghargaan kepada agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis atas kejayaan mengekang kebocoran hasil negara melalui tindakan bersepadu.
“Kita dapat kawal keterisan, kawal rasuah, kawal penyeludupan. Dua tahun kita dapat selamatkan RM15.5 bilion. Itu daripada penyeludupan, ketirisan dan rasuah,” katanya.
Beliau menjelaskan, langkah membanteras penyelewengan dan mengurus sumber secara telus merupakan asas penting bagi memastikan negara mampu menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat tanpa menaikkan beban fiskal.
“Daripada menyelamatkan wang negara, kita boleh tambah gaji penjawat awam, STR, SARA... Bukan nampak banyak duit, tetapi hasil pengurusan yang cekap,” katanya.
Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan sejumlah RM470 bilion diperuntukkan di dalam Belanjawan 2026, meningkat berbanding RM452 bilion tahun lalu.
Ketika membentangkan Belanjawan Madani 2026 di Dewan Rakyat Anwar berkata, jumlah itu merangkumi perbelanjaan RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus (EO) Persekutuan, RM81 bilion belanja pembangunan (DE) Persekutuan dan RM30 bilion pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Ia turut melibatkan RM 10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM 10.8 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD).
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya turut mengingatkan penjawat awam supaya menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab bagi memastikan setiap dasar kerajaan memberi manfaat kepada rakyat.
“Mesti ada tekad daripada diri (dengan) peroleh pendapatan yang halal, jalankan kerja sebaik mungkin. Kita ada satu atau dua tahun lagi, khidmatlah dengan sebaiknya,” ujarnya.
Beliau berkata, semangat integriti dan kejujuran perlu menjadi asas kepada budaya kerja dalam perkhidmatan awam kerana ia menentukan kejayaan usaha membanteras rasuah dan menutup ruang ketirisan.
Anwar turut menegaskan bahawa perjuangan memperkukuh tatakelola negara tidak boleh digalas oleh agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen setiap penjawat awam di semua peringkat.
“Jangan harap kepada SPRM atau badan penguasa sahaja. Tanggungjawab mesti ada pada ketua-ketua jabatan dan setiap penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya ketua jabatan sendiri menjadi pelindung kepada perbuatan salah, maka mustahil usaha memerangi rasuah dapat berjaya.
“Kalau ketua-ketua jabatan tahu dan menjadi pelindung, kita tak boleh pertahankan ketua jabatan itu,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, kejayaan membina pentadbiran yang bersih dan cekap bergantung kepada kesedaran moral serta keikhlasan setiap individu dalam perkhidmatan awam untuk berkhidmat demi rakyat dan negara.
“Apa yang sudah dilakukan itu akan menentukan nasib negara kita pada masa depan.
"Mudah-mudahan kita lakukan sebaiknya untuk keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

