'Jabatan kecemasan penuh pesakit influenza' - Pegawai farmasi kongsi situasi di hospital

SHAH ALAM – Jabatan Kecemasan (ED) di hospital awam dilaporkan sesak dengan pesakit, terutamanya kanak-kanak yang mengalami simptom influenza sejak beberapa hari lalu.
Seorang pegawai farmasi di sebuah hospital awam, Fatin Nasuha Azizi berkata, lonjakan kes yang mendadak memaksa pihak farmasi hospital menambah stok ubat antivirus Tamiflu secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan pesakit.
Menurutnya, peningkatan kes berlaku secara tiba-tiba, melibatkan ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka mendapatkan rawatan segera.
"Hari ini kami ‘top up’ Tamiflu banyak sangat. Semua pesakit datang bawa anak ke ED. Hampir semua kena influenza," katanya menerusi satu video di TikTok pada Khamis.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), influenza atau selesema bermusim bukanlah penyakit ringan, sebaliknya boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang paru-paru, sawan dan dalam kes tertentu, kematian terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil, warga emas dan individu dengan sistem imun yang lemah.
Influenza menular dengan cepat melalui titisan pernafasan apabila seseorang yang dijangkiti bersin atau batuk. Ini menjadikan tempat awam seperti sekolah, pusat beli-belah dan pengangkutan awam sebagai kawasan berisiko tinggi.
Tambah Fatin Nasuha, langkah pencegahan kekal sebagai kaedah paling berkesan untuk membendung penularan virus tersebut.
Antara saranan yang dikemukakannya termasuk memakai pelitup muka di tempat awam, kerap mencuci tangan dengan sabun atau bahan pembasmi kuman, menjaga penjarakan fizikal serta menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin menggunakan tisu atau sapu tangan.
"Vaksinasi influenza juga digalakkan, terutamanya menjelang musim penularan. Vaksin influenza perlu diambil setiap tahun kerana virus ini mengalami perubahan genetik secara beransur-ansur, menjadikan vaksin tahun sebelumnya kurang berkesan terhadap varian baharu.
"Vaksin mengambil masa kira-kira dua minggu untuk membina imuniti dalam tubuh selepas suntikan. Ia membantu sistem imun menghasilkan antibodi khusus yang mampu mengenal pasti dan menyerang virus influenza jika tubuh terdedah kepada jangkitan," katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun vaksin influenza tidak menjamin perlindungan sepenuhnya, ia mampu mengurangkan risiko jangkitan teruk, mengelakkan kemasukan ke hospital dan paling penting, mengurangkan kadar kematian akibat komplikasi selesema.
“Lindungi yang tersayang. Jangan tunggu sehingga anak dimasukkan ke ED baru mahu bertindak,” tegasnya, sambil menyeru masyarakat agar tidak mengambil mudah terhadap penyakit ini.
Ringkasan AI
- Jabatan Kecemasan di hospital awam sesak dengan pesakit terutamanya kanak-kanak mengalami simptom influenza
- Lonjakan kes memaksa hospital menambah stok ubat antivirus Tamiflu secara besar-besaran
- Influenza menular melalui titisan pernafasan dan boleh menyebabkan komplikasi serius
- Pencegahan termasuk memakai pelitup muka, mencuci tangan, menjaga penjarakan fizikal dan vaksinasi tahunan
- Walaupun vaksin influenza tidak menjamin perlindungan sepenuhnya, ia mengurangkan risiko jangkitan teruk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

