X

Kindly register in order to view this article
!

Berita palsu hantui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan

Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A

PENYEBARAN berita melalui media sosial pada hari ini bagaikan kilauan kilat. Dalam sekelip mata, ia mampu sampai ke pengetahuan ramai orang tanpa mengenal sempadan.

Ketika negara sedang dilanda penularan wabak koronavirus (Covid-19), bermacam-macam berita dan cerita dihidangkan di depan mata kita sama ada melalui WhatsApp, Twitter, Facebook atau Instagram.

Sebaik sahaja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan negara kita akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini, seluruh rakyat terkejut dan tergamam.

Bermula detik itu, berita mengenai Perintah Kawalan Pergerakan bertabu-

ran setiap masa dalam telefon bimbit atau komputer kita.

Tujuan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan adalah untuk menghalang rakyat keluar rumah sesuka hati tanpa tujuan. Demi menghalang virus Covid-19 daripada terus merebak, kerajaan menasihatkan agar rakyat duduk di dalam rumah selama tempoh dua minggu ini.

Barangkali ramai orang sudah bosan tidak tahu nak buat apa di rumah, maka bersepahlah berita-berita palsu ditular setiap masa dan setiap ketika.

Berita kononnya pihak polis akan mengeluarkan saman kepada pemandu kereta yang membawa lebih daripada seorang telah tersebar luas.

Begitu juga kononnya pihak tentera akan menggunakan kayu untuk memukul sesiapa sahaja yang mengingkari arahan keluar rumah tanpa tujuan tertentu.

Menyebarkan berita palsu ibarat menyebarkan virus Covid-19. Kesan dan akibatnya cukup serius sehingga boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat awam.

Selain berita palsu, kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sehingga mencetuskan kekeliruan juga akan menyebabkan suasana panik dan kritikan orang ramai.