9 aktivis Freedom Flotilla Coalition dijangka tiba di Malaysia jam 5 petang esok

SHAH ALAM - Sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) kini dalam perjalanan pulang ke tanah air dan dijangka tiba kira-kira jam 5 petang Ahad.
Menurut Sumud Nusantara Official, kesemua aktivis tersebut berdepan detik mencabar ketika ditahan oleh rejim Zionis ketika misi kemanusiaan ke Gaza.
"Kesemua aktivis telah dibebaskan hasil usaha diplomatik berterusan dan kerjasama erat antara kerajaan Malaysia, Kementerian Luar (Wisma Putra), Kedutaan Malaysia di Turkiye, serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada Kerajaan Turkiye.
"Sambutan kepulangan akan diadakan pada Ahad, 12 Oktober 2025, jam 5.05 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam kenyataan sama, orang ramai dijemput hadir bagi menyambut kepulangan deligasi sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian dan pengorbanan mereka dalam membawa suara rakyat Malaysia untuk Gaza.
Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan sembilan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi berkenaan dibebaskan dan diterbangkan dari Israel melalui penerbangan Turkish Airlines TK6921.
Mereka tiba di Istanbul pada jam 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia) dan kesemua aktivis dijangka pulang ke tanah air pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan FFC-TMTG disahkan ditunda dengan kesemua aktivis atas kapal termasuk sembilan rakyat Malaysia dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.
Mereka merupakan antara 145 aktivis antarabangsa yang ditahan tentera Israel selepas kapal konvoi kemanusiaan yang disertai mereka ditunda ke Pelabuhan Ashdod.
tamat
Ringkasan AI
- Sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition kini dalam perjalanan pulang ke tanah air
- Aktivis tersebut berdepan detik mencabar ketika ditahan oleh rejim Zionis
- Mereka dibebaskan hasil usaha diplomatik berterusan antara kerajaan Malaysia, Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia di Turkiye dan kerjasama Turkiye
- Sambutan kepulangan akan diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1
- Orang ramai dijemput hadir bagi menyambut kedatangan mereka sebagai penghargaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
