Pensyarah wanita ditemukan lemas dalam kolam renang resort

Nurhazwani
Nurhazwani
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri meninggal dunia selepas ditemui lemas di kolam renang sebuah resort di sini pada Sabtu.

Mangsa, Nurhazwani Abd Halim, 34, yang merupakan Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Pahang disahkan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi bersama suaminya sekitar jam 5.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata, mangsa bersama suaminya mendaftar masuk ke resort berkenaan kira-kira jam 4 petang sebelum keluar mandi di kolam renang setengah jam kemudian.

"Selepas hampir sejam berada di dalam kolam, suami mangsa menyedari isterinya tenggelam dan tidak sedarkan diri.

"Mangsa segera dibawa naik dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, proses bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Kemaman sekitar jam 10.30 pagi Ahad bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

"Setakat ini, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Insiden yang menimpa mangsa turut mendapat perhatian ramai termasuk ADUN Kijal, Datuk Razali Idris dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang hadir menziarahi keluarga mangsa di hospital pada pagi Ahad.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang pensyarah UiTM dan anak kepada bekas ADUN Permaisuri meninggal dunia lemas di kolam renang resort
  • Mangsa, Nurhazwani Abd Halim berumur 34 tahun
  • Kejadian berlaku ketika mangsa mandi bersama suami sekitar jam 5.30 petang
  • Tiada unsur jenayah ditemui, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)
  • ADUN Kijal dan bekas Menteri Besar Terengganu hadir menziarahi keluarga mangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!