BMW terbakar sebelum api merebak ke lereng bukit

SEREMBAN – Sebuah kereta jenis BMW musnah terbakar sebelum apinya merebak ke kawasan lereng bukit berhampiran Jalan Kayu Ara menghala ke Sendayan dalam kejadian yang berlaku pada malam Sabtu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, PBK I (KUP) Harzizi Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.50 malam.
Menurutnya, jentera pertama tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian pada jam 8.56 malam, sejauh enam kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis BMW yang telah musnah kira-kira 80 peratus.
“Kebakaran turut melibatkan kawasan lalang di lereng bukit berhampiran dengan anggaran keluasan terbakar sekitar 20x20 kaki persegi,” katanya menerusi kenyataan.
Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.05 malam, sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.33 malam.
Operasi pemadaman melibatkan seramai 12 anggota termasuk seorang pegawai kanan, manakala punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah Proton X70 musnah seratus peratus dalam insiden kebakaran kereta di Kilometer 252.4 Lebuhraya PLUS arah utara pada jam 5.04 pagi Ahad.
Enam minit masa diambil anggota BBP Rembau untuk mengawal kebakaran tersebut dan insiden itu juga tidak melibatkan sebarang mangsa.
Ringkasan AI
- Sebuah kereta BMW terbakar dan api merebak ke lereng bukit berdekatan di Jalan Kayu Ara ke Sendayan pada malam Sabtu
- BBP Seremban 2 menerima panggilan kecemasan pada jam 8.50 malam
- Kereta BMW musnah 80 peratus dan kawasan lereng bukit seluas 20x20 kaki persegi terbakar
- Tiada mangsa dalam kejadian dan kebakaran dikawal sepenuhnya pada jam 9.05 malam
- Operasi pemadaman melibatkan 12 anggota dan punca kebakaran sedang disiasat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

