Kemalangan maut di Iskandar Puteri: Polis buru individu disyaki curi kabel

Tangkap layar tular insiden.
Tangkap layar tular insiden.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi cedera parah dalam nahas dua kenderaan, membabitkan sekumpulan individu disyaki mencuri kabel di kawasan Nusa Bestari di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, nahas membabitkan kereta dan motosikal itu berlaku kira-kira jam 4.30 pagi itu pada awalnya disiasat sebagai kes kemalangan jalan raya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa berusia 22 dan 34 tahun yang mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan kepala dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia di hospital kira-kira jam 10 pagi semalam akibat kecederaan dialami dalam kemalangan berkenaan.

"Pada peringkat awal, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, siasatan lanjut Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Iskandar Puteri mendapati kemalangan itu mempunyai unsur jenayah curi kabel Telekom Malaysia (TM).

Beliau berkata, pihak TM Johor Bahru turut tampil membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Susulan itu, polis menjalankan siasatan selari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membencanakan kabel serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 berkaitan kerosakan rangkaian.

"Usaha mengesan semua suspek yang terbabit sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera memaklumkan kepada polis sekiranya melihat sebarang kejadian jenayah dan tidak bertindak sendiri sehingga boleh mengancam keselamatan diri serta orang awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan insiden kemalangan yang berlaku di satu lokasi yang dikaitkan dengan lokasi insiden curi kabel yang berlaku pada April lalu.

Insiden kemalangan itu turut dikaitkan berlaku antara geng curi kabel dengan orang awam menjadi mangsa.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!