Padah tendang kucing, pekerja syarikat produk kecantikan dipecat

BANGKOK – Seorang pekerja syarikat produk kecantikan di Don Mueang dipecat selepas tindakannya menendang seekor kucing tular dan mencetuskan kemarahan ramai di media sosial.
Video selama beberapa saat itu memaparkan lelaki berkenaan memasang kamera sebelum menendang kucing dengan kuat sehingga haiwan itu tercampak.
Klip tersebut turut disertakan kapsyen: “Saya ingin meminta kebenaran daripada pencinta kucing.”
Tindakan kejam itu mencetuskan kecaman hebat dalam kalangan pengguna media sosial yang mendesak supaya lelaki berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.
Hasil siasatan mendapati, lelaki tersebut merupakan pekerja penyelenggaraan di syarikat produk kecantikan.
Susulan insiden itu, syarikat berkenaan mengeluarkan kenyataan rasmi pada Khamis memaklumkan pekerja tersebut telah diberhentikan serta-merta.
"Syarikat tidak menyokong dan tidak akan sesekali menerima sebarang bentuk kekejaman terhadap makhluk hidup.
"Oleh itu, kami ingin memaklumkan bahawa pekerja penyelenggaraan terlibat telah diberhentikan berkuat kuasa 10 Oktober," menurut kenyataan syarikat itu yang dipetik Thaiger.
Tambah kenyataan itu, segala tindakan individu berkenaan selepas ini tidak ada kaitan dengan syarikat mereka.
Syarikat berkenaan turut berterima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan mereka serta menegaskan pendirian untuk menentang kekejaman terhadap haiwan.
Dalam pada itu, pertubuhan kebajikan haiwan Watchdog Thailand Foundation (WDT) mengesahkan kucing terbabit berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.
"Bekas teman wanita lelaki itu telah membawa kucing berkenaan ke klinik veterinar.
"Haiwan itu selamat dan kini dijaga oleh wanita tersebut," kata kenyataan WDT di media sosial.
Ringkasan AI
- Seorang pekerja syarikat produk kecantikan di Don Mueang dipecat kerana menendang kucing sehingga tular di media sosial
- Tindakannya menendang kucing mencetuskan kemarahan dan kecaman dalam kalangan pengguna media sosial
- Lelaki tersebut merupakan pekerja penyelenggaraan di syarikat tersebut
- Syarikat mengeluarkan kenyataan mengatakan tidak menyokong kekejaman terhadap makhluk hidup dan memecat pekerja tersebut
- Kucing yang ditendang berada dalam keadaan selamat dan kini dijaga oleh bekas teman wanita lelaki tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

