X

Kindly register in order to view this article
!

Bersedia hadapi situasi mencabar

A
A

PEMATUHAN Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan rakyat berada di rumah masing-masing dalam usaha membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) kini memasuki hari ketujuh. Masih berbaki tujuh hari lagi untuk ditempuhi rakyat Malaysia.

Mulai Ahad lalu juga, pelaksanaan pematuhan itu lebih tegas menerusi penugasan kira-kira 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikerah bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ops Penawar untuk menguatkuasakan arahan berkenaan.

Ketika ini, hampir 95 peratus rakyat akur terhadap pematuhan tersebut serta mula mengikuti arahan lain yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk tatacara semasa berurusan di luar seperti pasar dan pasar raya.

Sebab itu, dalam tempoh dua minggu bermula 18 Mac lalu, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan sedaya upaya berusaha mengesan dan mengasingkan pesakit yang mempunyai simptom untuk diberikan rawatan sekali gus menjadikan Malaysia bebas daripada wabak tersebut.

Sebenarnya, rakyat sekarang berhadapan dengan ‘darurat’ dan sedang berperang, bezanya bukan dengan musuh fizikal atau negara luar. Justeru, apa sahaja langkah yang diambil oleh kerajaan haruslah disokong dan dilaksanakan rakyat tanpa soal.

Ini termasuklah menggembleng tenaga pihak-pihak yang berkelayakan, misalnya universiti, pertubuhan bukan kerajaan, entiti dan komuniti bagi membantu pihak berkuasa termasuklah pakar-pakar perubatan swasta.

Pada masa sama, rakyat juga perlu membuat persediaan untuk melalui fasa yang lebih mencabar jika kerajaan terpaksa melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan sekiranya tempoh dua minggu ini gagal mengekang penularan wabak Covid-19.

Apa yang dilalui oleh rakyat ketika ini merupakan sesuatu yang baharu dan tidak pernah dibayangkan apabila terpaksa terkurung di kediaman sendiri.

Pada sudut lain pula, kita mula merasai apa yang telah dilalui oleh rakyat generasi terdahulu yang berhadapan dengan situasi serupa semasa darurat memerangi pengganas Parti Komunis Malaya (PKM).

Sukar untuk membayangkan kesusahan yang dialami rakyat pada masa itu kerana kita tidak merasai keadaan tersebut. Tempoh masa yang lama menyebabkan kita melihat darurat hanya dari aspek sejarah.

Darurat Tanah Melayu diisytiharkan oleh kerajaan British pada Jun 1948 di mana rakyat melalui tempoh gelap kerana hidup dalam keadaan tidak menentu. Perintah darurat diikuti dengan penarikan hak-hak sivil, pemberian kuasa istimewa kepada polis dan langkah-langkah lain yang bertujuan untuk mengekang kegiatan politik haluan kiri terutamanya PKM.

Rusuhan

Perintah berkurung telah dikuatkuasakan di kawasan yang mempunyai pengaruh komunis bagi mengehadkan pergerakan rakyat. Kawasan putih dan hitam telah diperkenalkan bagi memudahkan operasi ketenteraan. Kawasan putih merujuk kepada kawasan yang bebas daripada anasir komunis.

Anggota tentera dan polis melakukan sekatan jalan raya manakala kampung-kampung dikawal oleh pasukan Home Guard.

Darurat yang berlangsung selama 12 tahun telah meninggalkan kesan dari segi ekonomi, sosial dan juga politik di Tanah Melayu pada waktu itu.

Negara juga dikenakan perintah berkurung semasa Peristiwa 13 Mei 1969 akibat rusuhan kerana ketegangan kaum. Kekacauan terjadi beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum 1969 menyaksikan keselamatan rakyat tergugat.

Perintah berkurung 24 jam itu berlanjutan sehingga penghujung Mei 1969 sebelum tempoh kuatkuasanya dilonggarkan antara jam 3 petang hingga 6 pagi.

Keadaan negara masih lagi tidak aman apabila PKM melancarkan pemberontakan kedua atau Insurgensi pada tahun 1969 yang berlarutan selama 20 tahun apabila ia meletakkan senjata pada Disember 1989. Kehidupan rakyat tidak tenteram manakala banyak kawasan dikenakan perintah berkurung.

Mereka yang melanggar perintah berkurung boleh ditangkap atau ditembak oleh pasukan keselamatan. Gerik, Sungai Siput, Tanah Hitam dan Kroh di Perak, misalnya, merupakan kawasan operasi pengganas komunis yang digeruni. Kini, kawasan-kawasan tersebut sedang pesat membangun.

Ternyata, pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan oleh dicetuskan kerajaan untuk mengekang wabak Covid-19 tidaklah sekeras seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

Bagaimanapun, rakyat pada bila-bila masa harus bersedia dari segi mental untuk menghadapi fasa seterusnya jika ‘perang’ yang dihadapi sekarang menjadi lebih mencabar.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus