Penjawat awam: Kerja cepat, rakyat puas

USAHA mempercepatkan proses kerja dalam sektor awam kini menjadi keperluan utama bagi memenuhi harapan rakyat dan kerajaan.
Malah penjawat awam menyahut cabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 untuk terus mempercepatkan proses dan prosedur kerja, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata, perkhidmatan awam akan berusaha untuk merekayasa semula sistem, meruntuhkan tembok silo antara agensi dan fokus kepada kesejahteraan rakyat.
Birokrasi berlapis dan proses kelulusan panjang sering menjadi cabaran utama susulan kelewatan itu bukan sahaja menjejaskan produktiviti tetapi boleh menjejaskan imej perkhidmatan kerajaan di mata masyarakat.
Kerajaan menyediakan bantuan kewangan RM500 kepada penjawat awam sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka, walaupun jumlahnya kecil, insentif tersebut memberi motivasi tambahan untuk terus meningkatkan prestasi kerja.
Insentif kewangan sahaja tidak mencukupi, latihan berterusan, sistem sokongan yang efektif, dan penggunaan teknologi yang sesuai turut diperlukan bagi memastikan produktiviti jangka panjang terjamin.
Teknologi digital dan automasi menjadi pemangkin utama mempercepat proses kerja yang mana ia membolehkan urusan dokumen dan kelulusan dilakukan dengan pantas tanpa melalui proses manual yang panjang.
Perubahan minda daripada hanya menunggu arahan kepada pendekatan proaktif amat penting selain penjawat awam perlu berinisiatif menyelesaikan masalah dan mencadangkan penambahbaikan bagi mempertingkatkan perkhidmatan.
Sektor awam juga boleh mencontohi sektor swasta, terutama dalam fleksibiliti kerja dan sistem penghargaan prestasi sekali gus mampu mendorong motivasi dan produktiviti lebih tinggi.
Latihan dan pembangunan kompetensi seperti pengurusan masa, teknologi maklumat dan kemahiran komunikasi amat diperlukan bagi memastikan setiap penjawat awam bersedia melaksanakan tugas dengan lebih efisien.
Pengurusan sumber manusia yang bijak, termasuk pembahagian tugas jelas dan pemantauan prestasi dapat memastikan tugasan diselesaikan tepat pada waktunya kerana komunikasi dalaman yang efektif turut menyokong kelancaran kerja.
Mempercepatkan proses kerja bukan sahaja meningkatkan kepuasan rakyat tetapi juga memastikan penggunaan dana awam lebih efektif susulan setiap kelewatan memberi impak kepada kecekapan perkhidmatan kerajaan.
Penjawat awam perlu sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran baharu, transformasi sektor awam bukan pilihan tetapi satu keperluan untuk menghadapi tuntutan masa depan.
Justeru, gabungan insentif, latihan, teknologi dan budaya kerja proaktif mampu membina sektor awam yang efisien dan responsif, jika semua usaha tersebut dilaksanakan secara konsisten, rakyat akan merasai perkhidmatan lebih cepat, tepat dan mesra pengguna.
Ringkasan AI
- Usaha mempercepatkan proses kerja sektor awam untuk memenuhi harapan rakyat dan kerajaan
- Penjawat awam diharapkan memecahkan tembok silo antara agensi dan fokus kepada kesejahteraan rakyat
- Kerajaan menyediakan bantuan kewangan RM500 kepada penjawat awam sebagai penghargaan
- Teknologi digital dan automasi menjadi pemangkin utama dalam mempercepat proses kerja
- Perubahan budaya kerja kepada pendekatan proaktif dan pembangunan kompetensi diperlukan untuk peningkatan efisiensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
