RM580 juta suntik semangat baharu atlet negara

Jefri Ngadirin
Jefri Ngadirin
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) bertekad membalas kepercayaan kerajaan susulan pengumuman peruntukan besar berjumlah lebih RM580 juta bagi pembangunan sukan dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen tinggi kerajaan terhadap pembangunan sukan negara dan menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa pelan persediaan atlet di bawah Program Road to Gold (RTG), Program Podium serta Program Bakat Negeri.

Menurutnya, MSN amat menghargai perhatian Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan terhadap sektor sukan tanah air, khususnya dalam memperkukuh ekosistem pembangunan atlet berprestasi tinggi.

“Peruntukan ini tiba tepat pada masanya ketika MSN menumpukan sepenuhnya kepada program latihan dan persediaan atlet untuk menghadapi beberapa temasya utama tahun hadapan seperti Sukan Para ASEAN di Thailand, Sukan Asia dan Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya, Jepun, serta Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

“Pada masa sama, MSN telah memulakan langkah jangka panjang bagi persiapan atlet menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 yang akan dianjurkan di Malaysia,” katanya pada Sabtu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas perhatian kerajaan terhadap pembangunan atlet para melalui peruntukan khas bagi program latihan dan pembangunan di peringkat negeri, termasuk bagi penyertaan ke Sukan Para SUKMA 2026.

Jefri menegaskan, sokongan padu kerajaan bukan sahaja menyuntik semangat kepada atlet dan jurulatih, malah memperkukuh iltizam MSN untuk memastikan bendera Malaysia terus berkibar megah di persada dunia.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026, Anwar mengumumkan lebih RM580 juta disalurkan untuk memperhebat pembangunan sukan negara yang meliputi pemerkasaan sukan berprestij tinggi seperti RTG serta persediaan menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 di Malaysia.

Peruntukan itu turut merangkumi pembangunan atlet para dan sukan orang pekak, penyelenggaraan kemudahan belia dan sukan di seluruh negara, serta kerja menaik taraf padang sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Anwar dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan atlet negara seperti Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Pearly Tan-M Thinaah yang melakar sejarah sebagai beregu campuran dan wanita pertama memenangi pingat di Kejohanan Badminton Dunia, selain kejayaan Malaysia meraih 25 pingat emas dan muncul juara keseluruhan Sukan SEA Pekak 2025.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Datuk Latif Romly yang sekali lagi memecahkan rekod sendiri dan meraih emas dalam acara lompat jauh di Kejohanan Olahraga Para Dunia.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju membenarkan organisasi diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan sebahagian pendapatan diterima bagi menjalankan aktiviti pembangunan sukan sebagai langkah memperkukuh penyertaan sektor korporat dalam ekosistem sukan negara.

 

Ringkasan AI

  • MAJLIS Sukan Negara (MSN) bertekad membalas kepercayaan Kerajaan dengan peruntukan lebih RM580 juta untuk pembangunan sukan dalam Belanjawan 2026
  • Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam pembangunan sukan negara termasuk Program Road to Gold, Program Podium dan Program Bakat Negeri
  • MSN menghargai perhatian Perdana Menteri terhadap ekosistem pembangunan atlet berprestasi tinggi
  • Peruntukan akan digunakan untuk persiapan atlet bagi temasya utama tahun depan dan persiapan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 di Malaysia
  • Peruntukan juga meliputi pembangunan atlet para, penyelenggaraan kemudahan sukan dan kerja menaik taraf padang sekolah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!