Dua maut kenderaan bertembung, terbakar


KOTA TINGGI – Dua lelaki maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan yang mana dua daripadanya terbakar di Kilometer 56, Lebuhraya Senai–Desaru pada Sabtu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd Hazmi Zulkafli berkata, panggilan kecemasan kebakaran kenderaan itu pada jam 11.25 pagi sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi didapati berlaku kebakaran membabitkan dua buah kenderaan akibat kemalangan tiga kereta.
“Lima mangsa dalam kenderaan berkenaan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba. Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula,” katanya dalam kenyataan.
Tiga kenderaan terbabit nahas ialah Toyota Fortuner, Volkswagen dan Honda CRV.
Difahamkan, Toyota fortuner bertembung dengan Wolkswagen dan terbakar manakala Honda CRV cuba mengelak daripada berlanggar dengan kedua-dua kereta yang terbakar.
Menurut Mohd Hazmi, Volkswagen berkenaan dinaiki empat lelaki dewasa, dua daripadanya disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Manakala dua lagi mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru dalam keadaan kritikal.
"Seorang lelaki yang menaiki Toyota Fortuner dilaporkan cedera parah, sementara empat penumpang Honda CRV iaitu, dua lelaki dan dua wanita dewasa berada dalam keadaan selamat,"ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman ketika dihubungi mengesahkan kemalangan yang berlaku dan membabitkan dua kematian.
Bagaimanapun, katanya, pegawai penyiasat masih di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Dua maut dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat. Tiga yang cedera parah pula di bawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan lanjut," katanya.
Ringkasan AI
- Lima mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kereta di KM56 Lebuhraya Senai–Desaru
- Dua buah kereta terbakar selepas perlanggaran
- Mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba
- Lapan anggota bomba bersama sebuah jentera FRT dikejarkan ke lokasi
- Kebakaran dua buah kereta dipadamkan menggunakan satu aliran salur bantu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

