Perak, TFC nafi berdepan masalah gaji akibat penangguhan liga

MOHAMAD AZLIN
MOHAMAD AZLIN
A
A
A
PERAK dan Terengganu FC (TFC) mengesahkan tidak berdepan masalah pembayaran gaji pemain dalam masa terdekat biarpun Liga Malaysia (Liga-M) terpaksa ditangguhkan bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri memberi jaminan bahawa pemain tidak akan berdepan masalah tunggakan gaji memandangkan kantung pasukan masih di tahap terbaik.

Beliau berkata, ketiadaan hasil penjualan tiket sepanjang tempoh penangguhan itu tidak memberi kesan besar kepada kewangan pasukan sekali gus menepis dakwaan skuad The Bos Gaurus berdepan masalah berkaitan pendapatan pasukan dalam tempoh ‘bertenang’ itu.

“Setakat ini, kedudukan kewangan pasukan masih macam biasa, malah dana yang kami miliki mencukupi sehingga akhir musim dan tiada isu gaji pemain akan terjejas. Kami dibantu oleh pelbagai sumber tajaan jadi ketiadaan pendapatan daripada penjualan tiket tidak memberi kesan besar.

“Cuma andai kata kalau saingan liga terpaksa dilanjutkan ke Disember atau Januari (2021), perkara itu mungkin ada beri kesan dan kami perlu fikirkan cara terbaik mendapatkan bajet tambahan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini

Saingan Liga-M ditunda sejak 16 Mac lepas dan MFL selaku badan pentadbir Liga-M, mengarahkan kesemua pasukan daripada mengadakan sebarang latihan dan perlawanan persahabatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Pada masa sama, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil berkata, pada masa ini semua penaja termasuk kerajaan negeri akan terus memberi komitmen dalam pembayaran gaji kepada pemain.

Katanya, penularan wabak Covid-19 tidak memberi kesan kepada TFC yang akan terus komited menjaga kebajikan pemain sehingga saingan Liga-M bersambung.

“Saya tidak pasti kenapa Terengganu dikaitkan dalam isu ini sedangkan kami sendiri sudah mendapat sokongan yang cukup baik daripada kerajaan negeri, syarikat-syarikat GLC (milik kerajaan Terengganu) dan penaja utama kami sendiri, Red One.
Artikel Berkaitan:


“Mereka tidak ada pun cakap akan menarik balik tajaan ekoran liga ditangguhkan kerana Covid-19 dan sokongan yang mereka berikan adalah sehingga akhir musim ini.

“Soal jualan tiket pula tidak memberi kesan besar kepada kami, malah sebelum ini ia hanya digunakan untuk menampung kos perbelanjaan pada hari perlawanan seperti pembayaran elaun kepada pengadil dan petugas keselamatan seperti RELA,” katanya. - Bernama