Dakwaan lelaki dikurung di negara jiran tidak benar - Polis

Sazalee.
Sazalee.
A
A
A

BALIK PULAU – Polis menafikan dakwaan seorang lelaki diculik dan dipenjara di luar negara untuk tujuan pemerasan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa yang didakwa diculik tidak pernah keluar negara sejak 21 Oktober 2019.

“Kali terakhir mangsa dikesan ke luar negara adalah pada 13 Oktober 2019 ke China dan pulang ke Malaysia pada 21 Oktober tahun sama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada 7 Oktober lalu, selepas satu sidang akhbar dianjurkan oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang mendakwa mangsa dikurung di Thailand dan Kemboja oleh sindiket penipuan kerja.

Sazalee berkata, laporan yang dibuat ibu mangsa sedang disiasat mengikut Seksyen 347 dan 384 Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan sekatan kebebasan seseorang dan pemerasan.

“Polis akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut. Dalam masa sama, kami menasihati NGO dan wakil masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau sidang media tanpa merujuk kepada pihak polis atau agensi berkaitan,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama semua pihak bagi mengekalkan suasana aman dan kondusif, selaras dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Terdahulu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan pihaknya menerima laporan mengenai seorang lelaki dari Pulau Pinang yang dikatakan diculik sindiket penipuan kerja di Thailand dan kini dijadikan tebusan bagi mendapatkan wang.

MHO turut mendakwa sindiket terbabit mengugut keluarga mangsa dengan ancaman kecederaan jika wang tebusan tidak dibayar.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, MHO memaklumkan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa untuk mengesan mangsa serta menghentikan aktiviti sindiket berkenaan.

Ringkasan AI

  • Polis menafikan dakwaan seorang lelaki diculik dan dipenjara di luar negara untuk tujuan pemerasan
  • Mangsa yang didakwa diculik tidak pernah keluar negara sejak 21 Oktober 2019
  • Ibu mangsa telah membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya selepas dakwaan pemerasan oleh sindiket penipuan kerja
  • Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 347 dan 384 Kanun Keseksaan berkaitan sekatan kebebasan dan pemerasan
  • Polis menasihati NGO dan wakil masyarakat untuk tidak membuat spekulasi atau sidang media tanpa rujukan kepada pihak polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!