Polis siasat dakwaan 'Abah Aspirasi' dipukul, diludah OKT semasa dibawa reman

Mohd Hafiz
Mohd Hafiz
A
A
A

SUNGAI BULOH - Tiga orang kena tahan (OKT) disiasat atas dakwaan memukul meludah dan mengugut seorang pempengaruh politik dikenali sebagai 'Abah Aspirasi'.

Kejadian Selasa lalu itu berlaku semasa mereka berada dalam lori polis ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Shah Alam untuk permohonan reman berkenaan kes yang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, dakwaan berkenaan insiden itu juga telah tular di media sosial menerusi enam rakaman video pada Khamis.

Katanya, sehubungan itu satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan.

"Bertindak atas laporan yang diterima, polis menahan tiga lelaki berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.

"Merujuk kepada kandungan rakaman video yang dikongsi di media sosial, polis menegaskan bahawa kejadian itu ada asasnya dan kita sedang berusia untuk menyempurnakan siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, tiada sebarang unsur salah laku membabitkan anggota polis dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata, polis tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk menyebarkan maklumat tidak sahih dan boleh mengganggu siasatan serta keresahan awam.

Ujarnya, perbuatan menyebarkan spekulasi tanpa asas boleh membawa implikasi serius yang boleh diambil tindakan tegas sekiranya didapati melanggar undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki yang juga pempengaruh politik diserang sekumpulan individu di pondok pengawal di Bandar Seri Coalfields di sini pada 24 Mei lalu.

Kejadian itu dipercayai akibat ketidakpuasan hati terhadap siaran langsung pempengaruh itu di aplikasi TikTok berkaitan isu politik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!