Tiga lelaki simbah cat dipenjara 12 bulan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tindakan tiga lelaki menyimbah cat ke sebuah rumah hingga mengena pada kereta dan motosikal milik seorang individu mengundang padah apabila Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu, menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap mereka.
Juruteknik, Chin Zi Ping, 34; pengurus syarikat, Tieu Boon Chow, 34; dan juruteknik pendingin hawa, Ooi Hong Leong, 38, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret S. Mageswary.
Mahkamah memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan, iaitu 16 April lalu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sengaja melakukan khianat dengan menyimbah cat di luar rumah, kereta jenis Perodua Axia dan motosikal Yamaha Y135 milik seorang lelaki, sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM10,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Angkasa Batu, di sini, pada jam 4.50 pagi, 29 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding, peguam Nurul Diyana Basher daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu agar tiga anak guamnya dikenakan hukuman pemenjaraan dalam tempoh singkat.
“Setiap tertuduh perlu menyara keluarga masing-masing termasuk dua anak, isteri dan ibu bapa yang uzur.
“Mereka memohon maaf kepada mahkamah dan pengadu dalam kes ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad mencadangkan agar setiap tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira nilai kerugian yang ditanggung oleh mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

