Belanjawan 2026: Peruntukan besar KDN perkukuh aset, naik taraf kemudahan pasukan

SHAH ALAM - Peningkatan peruntukan kepada RM21.2 bilion berbanding RM19.5 bilion pada tahun sebelumnya mencerminkan pengiktirafan besar kerajaan terhadap peranan penting Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terjamin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk memperkukuh aset keselamatan dan menaik taraf kemudahan pasukan beruniform di bawah kementeriannya.
Selain itu, ia akan digunakan untuk mempertingkat kawalan sempadan serta memperkukuh keupayaan negara dalam menangani ancaman siber dan jenayah digital.
“Kebajikan anggota beruniform juga terus diperuntukkan dalam Bajet Madani 2026 ini, Alhamdulillah. Saya akan kongsikan perincian yang diumumkan ini dalam hantaran-hantaran saya yang seterusnya.
“Terima kasih kepada Kerajaan Madani atas keyakinan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada KDN. Amanah ini akan kami terus galas dengan penuh dedikasi demi memastikan Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera.
“Insya-ALLAH, inilah semangat sebenar Belanjawan Rakyat, hasil reformasi yang kembali kepada rakyat, berpaksikan integriti, kesejahteraan dan keselamatan untuk semua,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Tambah Saifuddin, belanjawan keempat yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar sebuah dokumen kewangan tetapi bukti nyata bagaimana hasil reformasi dan pembaharuan kini benar-benar sampai kepada rakyat.
Jelasnya, kerangka besar Ekonomi Madani digerakkan untuk rakyat bagi memastikan negara terus mempunyai kemampuan menyediakan kemudahan asas, mencipta pekerjaan, menjana pendapatan dan meringankan kos sara hidup.
“Bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’, belanjawan kali ini menandakan fasa baharu setelah berani membawa reformasi, kini tiba masanya untuk memulangkan hasilnya kepada rakyat.
“Saya dan warga KDN ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan seluruh Kerajaan Madani atas dukungan berterusan terhadap Kementerian Dalam Negeri,” ujar beliau.
Ringkasan AI
- Peningkatan peruntukan kepada KDN kepada RM21.2 bilion dari RM19.5 bilion mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranannya
- Peruntukan itu akan digunakan untuk memperkuat aset keselamatan dan menaik taraf kemudahan pasukan beruniform
- Digunakan juga untuk mempertingkat kawalan sempadan dan keupayaan menangani ancaman siber serta jenayah digital
- Kebajikan anggota beruniform terus diperuntukkan dalam Bajet Madani 2026
- Belanjawan ini disifatkan sebagai bukti nyata hasil reformasi yang sampai kepada rakyat, dengan memfokuskan kemampuan menyediakan kemudahan asas, pekerjaan, pendapatan, dan meringankan kos sara hidup
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

