Belanjawan 2026: Felda, Risda, Felcra terima peruntukan hampir RM2.4 bilion

KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) menerima peruntukan berjumlah hampir RM2.4 bilion menerusi Belanjawan 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat berkata, ini bakal melindungi lebih 720,000 peneroka, pekebun kecil serta keluarga mereka.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi mengurangkan kebergantungan pekerja asing dan menggalakkan inovasi tempatan, peruntukan sebanyak RM20 juta disediakan bagi menyokong syarikat pemula niaga mengeluarkan produk mekanisasi dan automasi dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan syarikat utama sawit.
"Kerajaan membela nasib pekebun kecil yang memerah keringat, membanting tulang mencari rezeki di ladang dengan peruntukan hampir RM120 juta ringgit.
"RM50 juta ringgit turut disediakan untuk membangunkan dan menyelenggara jalan-jalan ladang di seluruh negara," kata beliau.
Anwar turut mengumumkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan membangunkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dengan kos 600 juta ringgit demi kemampanan masa depan industri. - Bernama
Ringkasan AI
- Felda, Risda dan Felcra menerima peruntukan hampir RM2.4 bilion menerusi Belanjawan 2026
- Peruntukan ini bertujuan melindungi lebih 720,000 peneroka, pekebun kecil serta keluarga mereka
- RM20 juta disediakan untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing dan menggalakkan inovasi tempatan
- Hampir RM120 juta diperuntukkan untuk membela nasib pekebun kecil
- RM50 juta disediakan untuk membangunkan dan menyelenggara jalan-jalan ladang di seluruh negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
