Indonesia runding semula hutang projek kereta api laju dengan China

JAKARTA – Indonesia kini sedang berunding secara rasmi dengan China bagi menyusun semula hutang besar yang ditanggung dalam projek mega kereta api laju Jakarta–Bandung bernilai berbilion dolar.
Ketua Pegawai Eksekutif dana kekayaan negara Danantara, Rosan Perkasa Roeslani mengesahkan perkara itu pada Rabu ketika menghadiri Investor Daily Summit 2025 di Jakarta.
“Ya, rundingan dengan kerajaan China sedang berjalan,” katanya kepada media sambil menambah bahawa sebarang maklumat lanjut hanya akan diumumkan selepas mencapai persetujuan rasmi.
Rosan berkata, Indonesia berhasrat mencari penyelesaian menyeluruh supaya tidak membebankan negara pada masa hadapan.
“Kami tidak mahu bentuk penstrukturan semula hutang yang boleh menimbulkan masalah baharu. Kami mahu pembaharuan menyeluruh agar isu seumpama ini tidak berulang dan tidak menyebabkan risiko gagal bayar,” jelasnya.
Menurut Rosan, kerajaan juga akan lebih berhati-hati dalam rancangan melanjutkan projek kereta api laju itu ke Surabaya, Jawa Timur.
Beliau berkata, sebarang peluasan perlu mempunyai struktur pembiayaan yang mampan dan tidak membebankan kewangan negara.
Dilancarkan pada Oktober 2023, projek bernilai AS$7.3 bilion (RM30.8 bilion) itu merupakan kereta api laju pertama di Asia Tenggara yang memendekkan masa perjalanan antara Jakarta dan Bandung daripada tiga jam kepada hanya 45 minit.
Sebanyak 75 peratus pembiayaan projek itu dibiayai oleh China Development Bank, manakala selebihnya datang daripada konsortium syarikat milik kerajaan Indonesia dan China melalui Kereta Cepat Indonesia China (KCIC).
Bagaimanapun, projek itu mengalami kos lebihan sebanyak AS$1.2 billion (RM5.1 bilion) akibat sekatan pandemik dan masalah pengambilan tanah dengan kadar faedah hutang tambahan meningkat kepada 3.4 peratus setahun.
Media tempatan melaporkan bahawa tekanan kewangan turut dirasai oleh Kereta Api Indonesia (KAI), syarikat utama dalam konsortium tersebut yang menanggung kerugian hampir 4.2 trilion rupiah (RM1.3 bilion) pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif KAI, Bobby Rasyidin, sebelum ini menyifatkan projek itu sebagai 'bom jangka kewangan', namun menegaskan pihaknya akan bekerjasama dengan Danantara bagi mencari penyelesaian terbaik. - Agensi
Ringkasan AI
- Indonesia sedang berunding dengan China untuk menyusun semula hutang projek kereta api laju Jakarta-Bandung
- Rosan Perkasa Roeslani, Ketua Pegawai Eksekutif dana kekayaan negara Danantara, mengesahkan rundingan tersebut
- Indonesia mencari penyelesaian menyeluruh untuk mengelak masalah hutang pada masa hadapan
- Projek kereta api laju ini, dilancarkan pada Oktober 2023, merupakan yang pertama di Asia Tenggara, memendekkan masa perjalanan Jakarta-Bandung menjadi 45 minit
- Sebanyak 75 peratus pembiayaan projek ini dibiayai oleh China Development Bank
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

