[VIDEO] PATI warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara
SEREMBAN - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya awal bulan ini.
Tertuduh Tha Hnin Sang,19, hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farha Sulaiman.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Cung Tha Lian yang berusia 25 tahun.
Kesalahan terbabit dilakukan pada 3 Oktober 2025, antara jam 8.46 malam hingga 11.41.malam di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Lingkaran Tengah di sini.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
Sekiranya dijatuhkan hukuman mati, perlu dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi tidak menawarkan jaminan.
Majistret menetapkan 10 Disember untuk sebutan semula kes.
Sementara itu dalam prosiding berasingan, tertuduh telah dihukum satu bulan penjara selepas mengaku bersalah masuk ke negara ini tanpa dokumen atau pas yang sah mengikut segi undang-undang.
Kesalahan itu dilakukan pada 4 Oktober 2025, jam 6.50 pagi di Kampung Tersusun Mutiara Galla, Seremban.
Terdahulu tertuduh merayu dikenakan hukuman minimum dan memberitahu baru empat bulan masuk ke negara ini serta bekerja di sebuah bengkel kenderaan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshafatihah bt Nor Azmi
Ringkasan AI
- Seorang pendatang asing tanpa izin warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh
- Tertuduh berumur 19 tahun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan
- Pertuduhan membunuh tidak membolehkan pengakuan di Mahkamah Majistret
- Tertuduh didakwa membunuh Cung Tha Lian pada 3 Oktober 2025 di sebuah bengkel kenderaan
- Tertuduh juga dihukum satu bulan penjara kerana masuk Malaysia tanpa dokumen sah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

