Fokus pacu ekonomi domestik

SHAH ALAM – Kerajaan perlu memberi tumpuan untuk memacu ekonomi domestik dalam Belanjawan 2026 bagi memastikan momentum pertumbuhan negara kekal mampan ketika pasaran eksport global dijangka terus mencabar tahun depan.
Pakar Ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ketidaktentuan ekonomi global terutama kesan daripada dasar perdagangan baharu Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump boleh memberi kesan besar kepada eksport Malaysia.
Kata beliau, pengumuman Trump mengenai pelaksanaan cukai import 100 peratus terhadap barangan farmaseutikal dan perabot pada bulan lalu memberi isyarat jelas bahawa Malaysia perlu memperkukuh pasaran dalam negara bagi menampan risiko luaran.
“Ekonomi domestik mesti dikekalkan momentum pertumbuhannya tahun hadapan memandangkan pasaran eksport akan lebih mencabar ekoran tindakan Trump.
“AS merupakan pasaran penting bagi pengeksport Malaysia, jadi Belanjawan 2026 dijangka lebih besar dengan fiskal kerajaan yang bertambah bagi memastikan ekonomi domestik terus positif dan menjadi peneraju peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.
Beliau menjangkakan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyokong agenda tersebut apabila kadar dasar semalaman (OPR) diunjurkan dipotong sebanyak 0.25 peratus kepada 2.50 peratus pada 2026 bagi mengekalkan kos kewangan yang rendah.
“Langkah itu penting untuk memastikan kecairan tunai dalam sistem kewangan mencukupi dan mampu merangsang aktiviti perniagaan serta perbelanjaan domestik,” jelasnya.
Aimi Zulhazmi menegaskan, Belanjawan 2026 juga bukan sekadar dokumen fiskal tahunan tetapi pelan strategik yang menuntut keberanian politik dalam melaksanakan reformasi struktur ekonomi negara.
Katanya, pendekatan menaikkan siling untuk pertumbuhan negara dan menaikkan lantai untuk taraf hidup rakyat yang menjadi tonggak Belanjawan Madani dilakukan kerana kerajaan mahu meningkatkan taraf hidup serta kuasa beli rakyat keseluruhannya selari dengan peningkatan ekonomi negara iaitu pertumbuhan KDNK.
“Tiada dasar sempurna, tetapi yang penting adalah kemampuan kerajaan mencari imbangan yang mampan antara kebajikan rakyat dan keyakinan pelabur,” katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan perlu fokus pada ekonomi domestik dalam Belanjawan 2026 untuk kekal mampan di tengah cabaran pasaran eksport
- Ketidaktentuan ekonomi global dan dasar perdagangan AS di bawah Trump berpotensi besar memberi kesan kepada eksport Malaysia
- Pelaksanaan cukai import AS terhadap barangan farmaseutikal dan perabot menandakan keperluan Malaysia menguatkan pasaran dalam negeri
- Belanjawan 2026 bakal lebih besar dengan peningkatan fiskal kerajaan untuk memacu ekonomi domestik dan KDNK
- Belanjawan 2026 dilihat sebagai pelan strategik yang memerlukan reformasi struktur ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

