Mayat lelaki ditemui terapung di tali air Lahar Ikan Mati

KEPALA BATAS – Mayat seorang lelaki ditemui terapung di kawasan tali air di Lahar Ikan Mati, di sini pada petang Khamis.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Lutfi bin Abdullah, 54, dan disahkan meninggal dunia sebelum pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengangkat mayat tersebut dari dalam tali air berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan daripada polis mengenai penemuan mayat itu pada jam 1.05 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, kami menjalankan penilaian awal sebelum bertindak mengangkat mangsa menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap.
“Operasi dijalankan dengan berhati-hati dan mayat mangsa berjaya dibawa naik sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.37 petang tanpa sebarang insiden lain dilaporkan.
Difahamkan, berdasarkan keadaan mayat yang telah mengembung, mangsa dipercayai telah berada di dalam tali air terbabit kira-kira dua hari sebelum ditemui.
Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk tujuan bedah siasat.
Ringkasan AI
- Mayat seorang lelaki ditemui terapung di Lahar Ikan Mati, Kepala Batas pada petang Khamis
- Mangsa dikenali sebagai Mohd Lutfi bin Abdullah, berusia 54 tahun
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang membantu mengangkat mayat atas panggilan PDRM
- Operasi penyelamatan berjaya dilaksanakan tanpa insiden dan tamat pada jam 3.37 petang
- Mayat mangsa yang sudah mengembung menunjukkan beliau telah meninggal dalam tali air tersebut selama kira-kira dua hari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
