Mayat 'pengawal keselamatan' ditemui di Sungai Klang

SUBANG JAYA – [DIKEMAS KINI] Mayat seorang individu berpakaian seperti pengawal keselamatan ditemui tersangkut di celah batu bersama longgokan sampah di seberang Sungai Klang berhampiran USJ 1 di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian disedari seorang lelaki tempatan kira-kira jam 11.15 pagi ketika membuat tinjauan di kawasan projek sebelum memulakan kerja.
"Pengadu ternampak mayat dalam keadaan terlentang di seberang sungai sebelum menghubungi talian kecemasan MERS 999.
"Mangsa berpakaian lengkap dengan baju-T berkolar berwarna hitam bertulis 'Security' serta seluar panjang hitam dan dianggarkan mempunyai ketinggian sekitar 160 sentimeter,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, mayat berkenaan dibawa ke tebing sungai dengan bantuan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat SS17 Subang Jaya.
"Identiti si mati masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan awal oleh pegawai forensik mendapati mayat sudah dalam keadaan mereput dan punca kematian belum dapat dipastikan.
"Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk proses bedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat,” katanya.
Wan Azlan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7100 atau Ketua Polis Balai USJ8 di talian 019-655 8707.
"Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Ringkasan AI
- Mayat seorang individu berpakaian seperti pengawal keselamatan ditemui tersangkut di celah batu di seberang Sungai Klang berhampiran USJ 1
- Kejadian disedari oleh seorang lelaki tempatan ketika membuat tinjauan kawasan projek
- Mayat berkenaan dibawa ke tebing sungai dengan bantuan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat SS17 Subang Jaya
- Identiti si mati masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui
- Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

