Malaysia desak pelan damai Gaza dilaksana segera, henti penderitaan rakyat Palestin

Malaysia menggesa pelaksanaan segera Pelan Damai Gaza Fasa Pertama antara Hamas dan Israel yang disokong Trump bagi menamatkan konflik dan penderitaan rakyat Palestin. Foto AFP
Malaysia menggesa pelaksanaan segera Pelan Damai Gaza Fasa Pertama antara Hamas dan Israel yang disokong Trump bagi menamatkan konflik dan penderitaan rakyat Palestin. Foto AFP
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat dalam persetujuan fasa pertama pelan damai Gaza untuk melaksanakannya dengan segera dan sepenuhnya.

Wisma Putra menegaskan, persetujuan yang dicapai antara Hamas dan Israel merupakan langkah penting ke arah menamatkan pembunuhan beramai-ramai, kemusnahan serta kebuluran di Gaza.

Perkembangan itu juga dilihat membuka laluan kepada pertukaran tawanan dan tahanan, pengunduran sepenuhnya tentera Israel serta usaha pembinaan semula wilayah Gaza yang musnah akibat perang berpanjangan.

“Malaysia menyambut baik pelan komprehensif yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Sharm El-Sheikh, Mesir pada Rabu sekali gus menjadi asas penting kepada proses perdamaian yang dinantikan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Malaysia turut menghargai peranan Mesir, Qatar dan Turkiye serta negara-negara lain yang membantu memudah cara pelaksanaan pelan berkenaan.

Pada masa sama, Malaysia menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa bagi memastikan keamanan berkekalan di Gaza serta wilayah Palestin yang diduduki dapat direalisasikan.

Malaysia juga menegaskan pendiriannya yang konsisten dalam menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Terdahulu, Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan terhadap fasa pertama pelan damai yang bakal menyaksikan pengunduran tentera Israel serta pembebasan tebusan dan tahanan.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Trump menyatakan kesemua tebusan akan dibebaskan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Tentera Israel pula akan berundur ke sempadan yang telah dipersetujui, sebagai langkah awal ke arah perdamaian yang berkekalan.

Hamas merancang untuk membebaskan kesemua 20 tebusan yang masih hidup hujung minggu ini, manakala pihak tentera Israel dijangka memulakan pengunduran dari sebahagian besar wilayah Gaza.

Perjanjian ini dimeterai selepas rundingan selama beberapa hari di Mesir yang berpusat kepada pelan damai disokong Trump.

Ringkasan AI

  • Malaysia menggesa pelaksanaan segera dan sepenuhnya Fasa Pertama Pelan Damai Gaza
  • Persetujuan antara Hamas dan Israel disebut penting untuk menamatkan keganasan di Gaza
  • Persetujuan merangkumi pertukaran tawanan dan tahanan, dan usaha pembinaan semula wilayah Gaza
  • Malaysia menyambut baik pelan damai yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat di Mesir
  • Malaysia telah menyatakan pendiriannya dalam menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!