Malaysia sambut baik kemajuan rundingan gencatan senjata Gaza

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA – Malaysia menyambut baik laporan mengenai kemajuan dalam rundingan gencatan senjata di Gaza yang disifatkan sebagai sinar harapan selepas berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan di wilayah bergolak itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan tersebut memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat Palestin yang telah lama menanggung kesengsaraan akibat serangan berterusan rejim Zionis.

“Perkembangan ini menawarkan sedikit harapan selepas berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan yang tidak tertanggung.

"Setiap usaha untuk menamatkan keganasan dan melindungi nyawa orang tidak berdosa mesti dilakukan dengan penuh keikhlasan dan segera,” katanya dalam satu kenyataan di akaun media sosial rasmi beliau pada Khamis.

Anwar menegaskan, Malaysia terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan menuntut keadilan, maruah dan kenegaraan yang sah.

“Malaysia berdiri penuh solidariti bersama rakyat Palestin dalam usaha mereka mencapai keadilan, maruah dan kenegaraan.

"Saya menyeru semua pihak berkaitan agar merebut peluang ini untuk bergerak ke arah keamanan yang menyeluruh dan berkekalan,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan terhadap fasa pertama pelan damai yang bakal menyaksikan pengunduran tentera Israel serta pembebasan tebusan dan tahanan.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Trump menyatakan bahawa semua tebusan akan dibebaskan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Tentera Israel pula akan berundur ke sempadan yang telah dipersetujui sebagai langkah awal ke arah perdamaian yang kekal.

Hamas pula merancang untuk membebaskan kesemua 20 tebusan yang masih hidup hujung minggu ini, manakala tentera Israel dijangka memulakan pengunduran dari sebahagian besar wilayah Gaza.

Perjanjian ini dimeterai selepas rundingan selama beberapa hari di Mesir yang berpaksikan kepada pelan damai yang disokong oleh Trump.

 

 

Ringkasan AI

  • Malaysia menyambut baik kemajuan dalam rundingan gencatan senjata di Gaza
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkembangan ini sebagai harapan bagi rakyat Palestin
  • Malaysia berdiri bersama rakyat Palestin dalam perjuangan menuntut keadilan
  • Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan persetujuan fasa pertama pelan damai antara Israel dan Hamas
  • Pelan damai termasuk pengunduran tentera Israel dan pembebasan tebusan serta tahanan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!