Ejen haram tawar khidmat imigresen dicekup

JIM menahan seorang lelaki tempatan disyaki sebagai ejen haram yang menawarkan khidmat imigresen di Putrajaya pada Selasa. Foto JIM (Gambar kecil: Zakaria)
JIM menahan seorang lelaki tempatan disyaki sebagai ejen haram yang menawarkan khidmat imigresen di Putrajaya pada Selasa. Foto JIM (Gambar kecil: Zakaria)
A
A
A

PUTRAJAYA – Seorang lelaki yang berperanan sebagai ejen haram menawarkan perkhidmatan imigresen berjaya diberkas dalam satu operasi di sini pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 4.10 petang itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama dua minggu.

Menurutnya, lelaki tempatan itu ditahan bersama lapan naskhah pasport milik warga India dan satu unit telefon bimbit, selain sitaan sebuah kenderaan jenis Honda CRV yang dipercayai digunakan dalam kegiatan haram tersebut.

“Modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan imigresen berkaitan Pas Khas dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) dengan menyasarkan warganegara India yang berada di sekitar Lembah Klang.

“Suspek yang ditahan ini tidak mempunyai kebenaran daripada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atau surat kuasa daripada mana-mana majikan untuk menguruskan pasport warga asing.

“Bayaran yang dikenakan kepada pelanggan adalah antara RM400 hingga RM1,500 bagi setiap perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, semakan awal mendapati suspek pernah ditangkap pada tahun 2024 atas kesalahan yang sama dan telah dikenakan hukuman.

Jelasnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan suspek telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

“Jabatan ini akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas bagi membanteras segala aktiviti yang melanggar undang-undang negara, demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara selaras dengan aspirasi kerajaan Madani,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki berperanan sebagai ejen haram menawarkan perkhidmatan imigresen ditangkap di Putrajaya
  • Operasi tangkapan dijalankan hasil risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas
  • Lelaki tempatan itu ditahan bersama lapan naskah pasport India, satu telefon bimbit, dan sebuah kenderaan Honda CRV
  • Menyasar warganegara India di Lembah Klang untuk perkhidmatan Pas Khas dan Pas Lawatan Ikhtisas tanpa kebenaran JIM
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, suspek pernah ditangkap dan dihukum bagi kesalahan yang sama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!