Port 'rempit' diserbu, 35 motosikal disita

Antara motosikal yang disita dalam Op Khas Bersepadu Motosikal di Susur Lebuh Meru Raya, Ipoh pada Ahad. - FOTO: Facebook JSPT Perak
Antara motosikal yang disita dalam Op Khas Bersepadu Motosikal di Susur Lebuh Meru Raya, Ipoh pada Ahad. - FOTO: Facebook JSPT Perak
A
A
A

IPOH – Hasrat 'mat rempit' memperagakan aksi masing-masing terbantut apabila Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak menjalankan Op Khas Bersepadu Motosikal di Susur Lebuh Meru Raya di sini pada malam Ahad.

Operasi tersebut dilaksanakan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan serta meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pengguna jalan raya.

Ia diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Deputi Superintendan Ahmad Hamdi Jamaludin dengan kekuatan seramai 64 pegawai dan anggota.

Sepanjang operasi, sebanyak 149 kenderaan dan 167 individu diperiksa sebelum 279 saman dikeluarkan, terdiri daripada 218 saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 61 saman JPJ.

Antara individu yang diperiksa dalam operasi berkenaan. - FOTO: Facebook JSPT Perak
Antara individu yang diperiksa dalam operasi berkenaan. - FOTO: Facebook JSPT Perak

"Antara kesalahan yang dikesan termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tidak memiliki lesen memandu, tiada cermin sisi, tidak mempamerkan lesen percubaan serta pengubahsuaian kenderaan.

"Turut dikesan kesalahan tiada perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh," jelas JSPT Perak dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Dalam operasi sama, empat individu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebanyak 35 motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) akta berkenaan bagi tindakan lanjut.

JSPT Perak dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan operasi itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya dalam mempertingkatkan tahap pematuhan undang-undang serta membanteras kegiatan samseng jalanan.

Usaha berkenaan turut bertujuan memastikan keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya sentiasa terpelihara menerusi tindakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!