Geng Tok Wan tumpas, ganja lebih 3kg dirampas

Mohd Radzi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Bukit Wang, Kampung Manggol di Jitra pada Selasa lalu.
Mohd Radzi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Bukit Wang, Kampung Manggol di Jitra pada Selasa lalu.
A
A
A

JITRA – Empat lelaki berusia antara 43 hingga 67 tahun ditahan selepas polis merampas 3.179 kilogram (kg) dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Bukit Wang, Kampung Manggol di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kira-kira jam 9.50 malam hasil maklumat risikan.

Menurutnya, semua ahli kumpulan berkenaan yang dikenali Geng Tok Wan didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) menerusi ujian saringan air kencing.

"Ketika polis memperkenalkan diri, seorang lelaki yang berada di ruang tamu rumah berkenaan cuba melarikan diri ke bahagian belakang sebelum berjaya diberkas.

"Pemeriksaan mendapati suspek membawa satu bungkusan plastik berwarna merah hitam yang mengandungi tiga bungkusan plastik berpelekat berisi tumbuhan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 3.119 kg," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kubang Pasu di sini.

Jelas Mohd Radzi, dalam serbuan sama, polis turut menahan tiga lagi lelaki yang berada di ruang tamu dan menemui dadah jenis bunga ganja seberat 8.58 gram serta satu bungkusan tumbuhan mampat disyaki ganja seberat 51.45 gram.

Menurutnya, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 3.179kg dengan nilai RM9,600.

"Keempat-empat suspek berusia 43, 51, 61 dan 67 tahun itu mempunyai latar belakang pekerjaan berbeza, termasuk penganggur, peniaga dan pemandu lori.

Artikel Berkaitan:

"Polis percaya suspek berusia 61 tahun merupakan ketua kumpulan berdasarkan tindakannya cuba melarikan diri bersama bungkusan dadah ketika serbuan dilakukan," ujarnya.

Beliau berkata, dua bungkusan dadah lain pula ditemukan di ruang tamu rumah berkenaan bersama tiga suspek lain yang dipercayai berkumpul untuk menghisap serta membungkus dadah.

Tambahnya, hasil risikan awal mendapati bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh daripada pengedar tempatan dan disasarkan untuk pasaran sekitar kawasan Kubang Pasu.

"Polis masih mengesan individu yang dipercayai membekalkan dadah berkenaan bagi melengkapkan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952", katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Radzi menjelaskan dadah jenis bunga ganja mempunyai harga pasaran lebih tinggi berbanding ganja mampat.

Menurutnya, untuk bunga ganja, harga pasaran dianggarkan RM35,000 sekilogram, manakala ganja mampat sekitar RM2,500 sekilogram.

"Bunga ganja lebih mahal kerana kuantitinya yang terhad pada setiap pokok berbanding daun yang digunakan untuk menghasilkan ganja mampat," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!