FFC x TMTG: 145 aktivis dipindahkan ke penjara Ketziot, Israel

Kamarul Zaman ketika sidang media perkembangan terkini sembilan delegasi Malaysia misi FFC x TMTG di Ibu Pejabat MyCARE pada Khamis.
Kamarul Zaman ketika sidang media perkembangan terkini sembilan delegasi Malaysia misi FFC x TMTG di Ibu Pejabat MyCARE pada Khamis.
A
A
A

SERDANG - Peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) mengesahkan bahawa kesemua 145 aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, ADALAH telah berjumpa dengan sebahagian delegasi Malaysia yang ditahan dan proses guaman masih berlangsung.

Menurut beliau, peguam sedang mengemukakan permohonan untuk bertemu dengan dua lagi delegasi Malaysia pada awal petang ini.

Tambah Kamarul Zaman, pihaknya tidak menafikan kesemua aktivis termasuk sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu berdepan keganasan oleh rejim Zionis semasa pemintasan.

"Setakat ini, laporan yang kami terima sembilan delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat.

"Tujuh daripadanya telah bertemu dengan peguam ADALAH untuk urusan guaman selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media perkembangan terkini sembilan delegasi Malaysia misi FFC x TMTG di Ibu Pejabat MyCARE, di sini pada Khamis.

Kamarul Zaman turut memaklumkan, tiga delegasi ahli Parlimen Turkiye berkemungkinan dihantar pulang malam ini atau pagi esok.

"Perbicaraan tribunal akan berlangsung dalam tempoh dua hari akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan lewat petang dan kita kongsikan di sidang media jam 8 malam ini," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan tersebut dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa ketika menghampiri zon merah pada Rabu sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.

Misi pelayaran FFC x TMTG yang merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan menggesa peperangan dan krisis kebuluran dihentikan serta menuntut pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.

Lapan delegasi Malaysia yang menaiki kapal Conscience milik FFC itu terdiri daripada ketua misi, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Syafik Shukri Abdul Jalil, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Kapal terbesar Conscience membabitkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Ringkasan AI

  • Kesemua 145 aktivis Freedom Flotilla Coalition dipindahkan ke penjara di Israel
  • Peguam ADALAH berjumpa dengan sebahagian delegasi Malaysia yang ditahan
  • Sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi tersebut berada dalam keadaan selamat
  • Tiga delegasi ahli Parlimen Turkiye berkemungkinan dihantar pulang
  • Misi membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan serta menuntut pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!