PM jumpa pemimpin NGO bincang strategi hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui Mesir

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan pertemuan bersama beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa depan bagi membincangkan strategi lebih terperinci mengenai pelaksanaan gelombang kedua penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin, melalui jalan darat di Mesir.
Anwar berkata, pertemuan itu bertujuan menyelaras usaha Malaysia dengan pihak NGO yang aktif dalam misi kemanusiaan antarabangsa serta mencari kaedah terbaik untuk menyalurkan bantuan ke wilayah bergolak itu.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan menyatakan sokongan penuh terhadap sebarang inisiatif yang menyokong pembebasan Palestin dan usaha memecahkan sekatan di lintasan Rafah.
“Saya fikir strategi dan kebijaksanaan itu penting. Jumaat depan akan dibentangkan Belanjawan 2026 — kalau nak minta apa-apa, minta sekarang!
“Selasa depan saya akan panggil Sany Araby, Nadir Al-Nuri dan rakan-rakan lain untuk kita bincang bagaimana nak pecahkan tembok Rafah.
“Setelah berunding dengan mereka, kalau boleh minggu depan juga saya akan hubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi. Mudah-mudahan laluan ini lebih mudah. Yang penting, mesej kita ialah menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr Sany Araby Abdul Alim, memohon keizinan kepada Anwar untuk menggerakkan gelombang kedua misi kemanusiaan menghantar bantuan ke Gaza melalui jalan darat di Mesir.
Permohonan itu dibuat susulan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) tidak sempat menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza selepas semua kapal misi mereka dipintas tentera Israel minggu lalu.
Anwar turut menegaskan bahawa dunia tidak boleh terus membisu terhadap penindasan yang dialami rakyat Palestin.
“Alhamdulillah, dengan rakan-rakan NGO yang menggerakkan Sumud Nusantara, nama Malaysia kini harum di mata dunia.
“Ini negara yang bebas, merdeka dan sanggup berkawan dengan semua negara, tetapi tetap tegap memegang prinsip kebebasan serta keadilan tanpa takut kepada sesiapa pun,” ujar beliau.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengadakan pertemuan bersama pemimpin NGO Selasa depan untuk bincang strategi hantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza
- Pertemuan itu bertujuan menyelaras usaha Malaysia dan NGO dalam misi kemanusiaan antarabangsa serta mencari kaedah terbaik menyalurkan bantuan
- Anwar menyatakan sokongan penuh kerajaan terhadap inisiatif pembebasan Palestin dan usaha memecahkan sekatan di lintasan Rafah
- Anwar merancang untuk berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, untuk memudahkan penghantaran bantuan
- Anwar menegaskan dunia tidak boleh membisu terhadap penindasan rakyat Palestin dan menyatakan Malaysia tetap memegang prinsip kebebasan serta keadilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

