Malam Media YAPEIM 2025 salur sumbangan bernilai RM55,500

YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) terus menghargai peranan pengamal media menerusi penganjuran Majlis Apresiasi & Amal YAPEIM Bersama Media 2025.
Majlis kali ketiga anjuran YAPEIM yang dihadiri lebih 150 pengamal media daripada pelbagai organisasi itu turut menyaksikan sumbangan bernilai RM55,500 disalurkan kepada warga media yang memerlukan.
Seramai 50 pengamal media menerima bantuan kebajikan berjumlah RM1,000 seorang sementara lima lagi pengamal media menerima sumbangan sokongan peralatan perubatan yang keseluruhannya berjumlah RM5,500.
Inisiatif yang dimulakan sejak 2023 itu bertujuan membantu wartawan, jurugambar, jurukamera dan bekas pengamal media yang kurang bernasib baik menerusi sumbangan tunai dan sokongan peralatan perubatan.
Menariknya, inisiatif sumbangan sokongan peralatan perubatan ini kali pertama diperkenalkan YAPEIM bagi membantu pengamal media dan ahli keluarga yang memerlukan.
Sementara itu, hadir merasmikan majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, selain mengeratkan hubungan YAPEIM dan pengamal media, majlis juga merupakan tanda penghargaan terhadap sumbangan media dalam menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada YAPEIM yang setiap tahun menjemput rakan-rakan media untuk diraikan dalam majlis penuh meriah.
“Dengan inisiatif seperti ini, ia turut membantu mengesan rakan-rakan media yang sedang memerlukan bantuan. Mereka yang memudahkan urusan orang lain, insyaAllah, akan dipermudahkan juga urusannya,” katanya.
Hadir sama di majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada Selasa, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim; Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan dan barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM.

Turut hadir ketua media antaranya Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli; Pengarang Kumpulan BH, Zulkifli Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
YAPEIM turut merakamkan penghargaan kepada lima persatuan/kelab iaitu Kelab Media KL dan Selangor (KLS), Tabung Kasih @ HAWANA; Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA), Kelab Media Putrajaya dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) atas kerjasama yang diberikan dengan membantu mengesan pengamal media yang memerlukan bantuan.
Ringkasan AI
- YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyelenggarakan Majlis Apresiasi & Amal bagi menghargai pengamal media
- Lebih 150 pengamal media hadir dan sumbangan bernilai RM55,500 disalurkan kepada yang memerlukan
- Seramai 50 pengamal media menerima bantuan kebajikan RM1,000 seorang dan lima lagi terima sokongan peralatan perubatan berjumlah RM5,500
- Inisiatif ini bertujuan membantu wartawan dan bekas pengamal media yang kurang bernasib baik
- Inisiatif sokongan peralatan perubatan diperkenalkan buat kali pertama oleh YAPEIM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

