Malaysia tuntut pembebasan serta-merta sukarelawan Flotilla kemanusian ke Gaza

Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua sukarelawan dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang ditahan rejim Zionis.
Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua sukarelawan dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang ditahan rejim Zionis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua sukarelawan dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang ditahan rejim Zionis ketika dalam pelayaran menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu turut menuntut mendesak Israel menghormati hak mereka sebagai sukarelawan kemanusiaan dan memastikan keselamatan serta maruah mereka terpelihara pada setiap masa.

"Kementerian Luar mengesahkan bahawa sembilan warganegara Malaysia adalah antara peserta yang berada di atas kapal flotila berkenaan. Keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi Kerajaan,” katanya.

Tambahnya, semua perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan telah pun diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan telah mengambil langkah proaktif bagi menghadapi insiden ini, termasuk melaksanakan penyelarasan rapi dengan pihak berkuasa serta kerajaan negara yang berkaitan.

"Perwakilan ini kini giat melaksanakan usaha untuk memastikan pembebasan segera dan selamat semua peserta yang ditahan serta memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin,” katanya.

Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan pemintasan dan serangan rejim Zionis Israel pada 8 Okt 2025 terhadap sukarelawan kemanusiaan dan kapal-kapal yang menyertai misi FFC dan TMTG itu.

Tegasnya, tindakan pencerobohan yang dilakukan di perairan antarabangsa terhadap misi kemanusiaan yang aman, jelas merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

"Malaysia berdiri teguh menyatakan solidariti penuh bersama rakyat Palestin dan menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus menyokong segala usaha antarabangsa bagi menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza serta mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan di rantau tersebut,” tambahnya. - Bernama 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua sukarelawan dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens To Gaza yang ditahan rejim Zionis
  • Kementerian Luar menegaskan kepentingan memastikan keselamatan dan maruah sukarelawan kemanusiaan terpelihara
  • Sembilan warganegara Malaysia adalah antara peserta yang ditahan dalam misi tersebut
  • Perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan bertindak proaktif untuk memastikan pembebasan segera dan selamat peserta
  • Malaysia mengecam tindakan rejim Zionis Israel dan menyatakan solidariti penuh dengan rakyat Palestin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!