La Nina: Polis Kelantan tingkat kesiapsiagaan - KP

Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat pada awal musim sejuk tahun 2025 hingga awal tahun 2026 (Gambar kecil: Mohd Yusoff)
Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat pada awal musim sejuk tahun 2025 hingga awal tahun 2026 (Gambar kecil: Mohd Yusoff)
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir lebih awal tahun ini berikutan fenomena cuaca La Nina, dengan semua anggota dan aset, termasuk bot polis berada dalam keadaan bersedia menghadapi Monsun Timur Laut.

Langkah persiapan itu termasuk memastikan balai polis yang berisiko banjir dapat dipindahkan segera, termasuk senjata api, peralatan pejabat dan dokumen penting, ke lokasi selamat bagi mengelakkan kerosakan atau kehilangan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, persiapan awal ini dilakukan hasil mesyuarat bersama pihak Setiausaha Negeri (SUK) serta makluman awal kepada semua ketua polis daerah di negeri itu.

Beliau menegaskan walaupun banjir berlaku setiap tahun, pihak polis kini bersedia menghadapi apa jua kemungkinan, termasuk banjir awal yang dijangka berlaku tahun ini.

"Pengalaman tahun lepas menunjukkan beberapa balai dan pondok polis ditenggelami air menyebabkan anggota terpaksa berpindah untuk memastikan operasi keselamatan tidak terganggu.

"Tahun ini, kita mengambil langkah proaktif agar anggota, aset, senjata api, peralatan dan bot polis sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini baru-baru ini.

Beliau menambah persiapan turut merangkumi pengurusan logistik balai polis serta koordinasi dengan agensi lain bagi memastikan operasi berjalan lancar.

"Inisiatif ini bukan sahaja memastikan kelancaran operasi polis tetapi juga menjaga keselamatan awam di kawasan terjejas banjir,” katanya.

Pada 25 September lepas, media melaporkan Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat pada awal musim sejuk 2025/2026 dan berpotensi menjejaskan corak hujan bagaimanapun keadaan diramal kembali stabil ke paras neutral tidak lama selepas itu.

Artikel Berkaitan:

Pusat Iklim Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, tinjauan cuaca jangka panjang September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan majoriti model iklim antarabangsa meramalkan keadaan "El-Nino Southern Oscillation” (ENSO) kini neutral dengan kebarangkalian 56 peratus berterusan hingga Oktober ini.

Pada Disember tahun lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilapor berkata kerosakan akibat banjir membabitkan bangunan, kenderaan serta peralatan teknologi maklumat dan komunikasi milik Polis Diraja Malaysia Kelantan dianggar bernilai RM1.55 juta. - Bernama

Ringkasan AI

  • Polis Kelantan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi banjir lebih awal tahun ini akibat fenomena La Nina
  • Balai polis yang berisiko banjir bersiap sedia untuk dipindahkan bersama senjata api, peralatan, dan dokumen penting
  • Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengumumkan persiapan awal dilakukan hasil mesyuarat dengan Setiausaha Negeri dan ketua polis daerah
  • Persiapan meliputi kesiapsiagaan anggota, aset, senjata api, peralatan, dan bot polis
  • Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan operasi polis berjalan lancar dan menjaga keselamatan awam di kawasan terjejas banjir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!