FFC x TMTG: Kementerian Luar pantau rapi 9 aktivis Malaysia dalam misi ke Gaza

Seramai lapan wakil sukarelawan Malaysia menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di bawah gabungan FFC x TMTG.
Seramai lapan wakil sukarelawan Malaysia menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di bawah gabungan FFC x TMTG.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri mengesahkan sedang memantau rapi perkembangan sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang kini dalam pelayaran menuju ke Gaza.

Misi tersebut bertujuan mencabar sekatan tidak sah yang dikenakan oleh rejim Israel serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang amat memerlukan.

Menurut kenyataan kementerian itu pada Selasa, semua Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau terbabit telah diarahkan berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan mengekalkan pemantauan berterusan terhadap perkembangan misi tersebut.

“Langkah bersesuaian sedang disusun bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk risiko penahanan oleh pihak berkuasa Israel.

“Malaysia akan terus bekerjasama erat dengan negara-negara rakan strategik bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan hak rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.

“Ini selaras dengan komitmen berterusan kerajaan dalam menjunjung prinsip kemanusiaan sejagat dan keadilan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.
Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.

Pada Isnin, seramai 23 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia yang dibebaskan daripada tahanan Israel telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 10.07 malam.

Artikel Berkaitan:

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Perdana Menteri; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pendidikan, Datuk Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kementerian turut mengesahkan bahawa kesemua rakyat Malaysia yang terbabit berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Dalam kenyataan sama, Kementerian Luar turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Turkiye atas bantuan, fasilitasi serta sokongan penting yang membolehkan kepulangan aktivis Malaysia tersebut.

Penghargaan turut disampaikan kepada Kerajaan Jordan, Mesir, Amerika Syarikat serta negara-negara ASEAN yang mempunyai kehadiran diplomatik di Tel Aviv atas kerjasama mereka dalam memastikan keselamatan dan proses repatriasi rakyat Malaysia berjalan dengan lancar.

Selain itu, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai turut memainkan peranan penting dalam membantu proses membawa pulang serta menjaga kebajikan sukarelawan Malaysia sepanjang transit mereka.

Ringkasan AI

  • Kementerian Luar Malaysia memantau rapi perkembangan sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza
  • Misi ini bertujuan mencabar sekatan Israel dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza
  • Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia diarah berjaga-jaga dan memantau perkembangan misi tersebut
  • Langkah disusun menghadapi kemungkinan penahanan oleh Israel, Malaysia bekerjasama dengan negara rakan strategik
  • 23 aktivis Malaysia dibebaskan dari tahanan Israel, kesemua dalam keadaan selamat dan sihat, penghargaan kepada negara-negara yang membantu repatriasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!