10 termasuk warga asing cedera bot berlanggar dengan bot polis marin

10 termasuk warga asing cedera bot berlanggar dengan bot polis marin
10 termasuk warga asing cedera bot berlanggar dengan bot polis marin
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seramai 10 penumpang cedera selepas bot yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bot polis marin di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Gelang Patah di sini pada Rabu.

Menurut satu kenyataan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Johor Bahru, kejadian dipercayai berlaku pada jam 3.58 pagi sebelum anggota APM dikejarkan ke lokasi pada jam 4.07 pagi.

"Kemalangan tersebut dipercayai menyebabkan 10 penumpang cedera yang mana mangsa terdiri daripada lima lelaki warga tempatan serta empat wanita warga Indonesia dan seorang wanita etnik Rohingya warga Myanmar.

"Bagaimanapun, kesemua mangsa berkenaan dilaporkan selamat dan menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi menerima rawatan lanjut," menurut kenyataan berkenaan.

Difahamkan, operasi berkenaan turut melibatkan seramai 15 anggota polis marin dengan sebuah bot, empat kakitangan HSA dibantu dua ambulan dan dua anggota pasukan kecemasan St John dengan sebuah ambulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Bagaimanapun katanya, kes masih dalam siasatan dan kenyataan akhbar berhubung kejadian tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Bot yang dinaiki 10 penumpang terlibat dalam kemalangan dengan bot polis marin di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Gelang Patah
  • Cedera melibatkan lima lelaki warga tempatan, empat wanita warga Indonesia dan seorang wanita etnik Rohingya warga Myanmar
  • Mangsa dilaporkan selamat dan menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut
  • Operasi menyelamat melibatkan 15 anggota polis marin, empat kakitangan HSA, dua ambulans dan dua anggota pasukan kecemasan St John dengan sebuah ambulan
  • Kes masih dalam siasatan dan kenyataan akhbar akan dikeluarkan dalam masa terdekat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!