JPJ kesan pengusaha bas kilang upah 11 pemandu warga asing

Azrin (tengah) meninjau bas kilang yang disita JPJ menerusi operasi khas di sekitar Negeri Selangor pada Rabu.
Azrin (tengah) meninjau bas kilang yang disita JPJ menerusi operasi khas di sekitar Negeri Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan pengusaha bas kilang di negeri ini yang tidak bertanggungjawab dipercayai mengupah warga asing sebagai pemandu bagi membawa pekerja.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, perkara itu dikesan menerusi satu ops khas bas kilang yang dijalankan pihaknya pada Rabu.

Menurutnya, sebanyak 143 kesalahan dikesan selain tindakan sitaan diambil ke atas 17 bas kilang hasil pemeriksaan ke atas 75 kenderaan pengangkutan terbabit.

"JPJ Selangor telah mengesan 11 pemandu warga asing yang disyaki diupah oleh pengusaha syarikat terbabit.

"Berdasarkan akta, warga asing memang tidak dibenarkan untuk membawa kenderaan perkhidmatan awam. Pengusaha lori, bas kilang dan bas ekspres khususnya diingatkan agar tidak mengupah warga asing yang tidak layak memandu di jalan raya," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ Selangor di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai operasi selama empat jam bermula jam 6 pagi itu, Azrin berkata, antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada lesen memandu kompeten (CDL) dengan 25 kes, tiada lesen memandu vokasional (PSV) (27 kes), lesen kenderaan motor tamat tempoh (20 kes) serta kesalahan teknikal (25 kes).

Tambahnya, lain-lain kesalahan ialah tiada insurans (10 kes), menggunakan telefon bimbit (1 kes), memakai selipar (1 kes) dan lain-lain kesalahan (34 kes).

"Kita juga telah mengeluarkan 186 notis antaranya notis larangan menggunakan kenderaan, saman, arah periksa serta sita selain tindakan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," ujarnya.

Tegas Azrin, operasi khas ini dijalankan bagi memastikan tahap pematuhan pemandu dan pengusaha bas kilang terhadap peraturan serta undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan APAD 2010.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan mendapati masih terdapat pemandu dan pengusaha yang gagal mematuhi syarat lesen memandu, permit serta aspek teknikal dan keselamatan kenderaan.

"Tindakan tegas telah diambil ke atas kesemua kesalahan yang dikesan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan industri pengangkutan kilang," ujarnya.

 

 

Ringkasan AI

  • JPJ Selangor mengesan pengusaha bas kilang mengupah warga asing sebagai pemandu
  • Ops khas bas kilang JPJ Selangor mendedahkan 143 kesalahan dan 17 bas sitaan dari 75 kenderaan diperiksa
  • Dikesan 11 pemandu warga asing, pengusaha diingatkan warga asing tidak dibenarkan membawa kenderaan perkhidmatan awam
  • Antara kesalahan termasuk tiada CDL, tiada PSV, lesen tamat tempoh dan kesalahan teknikal
  • Operasi khas bertujuan memastikan pematuhan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan APAD 2010

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!