Polis siasat, kenal pasti pemilik pikap pelekat Hebrew

Laporan Sinar Harian berhubung tular pikap berpelekat bahasa Israel bermaksud ‘Malaysia rumah kami’. (Gambar kecil: Dzulkhairi)
Laporan Sinar Harian berhubung tular pikap berpelekat bahasa Israel bermaksud ‘Malaysia rumah kami’. (Gambar kecil: Dzulkhairi)
A
A
A

MELAKA – Polis Melaka telah mengenal pasti pemilik sebuah pikap yang tular di media sosial selepas didapati mempunyai pelekat bertulisan Hebrew pada bahagian belakang kenderaan itu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya bertindak menjalankan siasatan selepas menerima laporan berkaitan klip video tersebut daripada Pegawai Khas Agama kepada Ketua Menteri pada jam 3.32 petang, Selasa.

"Semakan yang dijalankan mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas nama seorang lelaki yang beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.

"Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tambah beliau, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi.

Ujarnya, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penyebaran video berkenaan.

"Siasatan secara telus akan dijalankan demi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat sentiasa terjamin," katanya lagi.

Video pendek berkenaan yang dikongsi di Threads sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi dan tanggapan netizen berhubung maksud serta simbol pada pelekat tersebut.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tular satu klip video yang memaparkan sebuah pikap berpelekat ‘Malaysia rumah kami’ dalam bahasa Hebrew, iaitu bahasa rasmi Israel, sekali gus mencetuskan kebimbangan dan kemarahan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Pegawai Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon, telah membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau.

Hairul Amin berkata, video yang menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu itu mula dikesan di media sosial sekitar tengah hari Selasa dan dipercayai dirakam dalam kawasan negeri ini.

Menurutnya, tulisan Hebrew pada pelekat tersebut membawa maksud yang sangat sensitif iaitu ‘Malaysia milik kami’ atau ‘Malaysia di tangan kami’, yang boleh menimbulkan provokasi, terutama ketika isu Gaza masih menjadi perhatian dunia termasuk misi Global Sumud Flotilla (GSF).

 

 

Ringkasan AI

  • Polis Melaka mengenal pasti pemilik pikap dengan pelekat bertulisan Hebrew
  • Siasatan dilakukan berdasarkan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
  • Pikap didaftarkan atas nama lelaki dari Gemenceh, Negeri Sembilan
  • Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi tentang video yang tular
  • Pelekat bertulisan Hebrew pada pikap mencetuskan kebimbangan dan kemarahan kerana maksud sensitifnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!